MAIPs Tubuh Lembaga Penasihat dan Penyelarasan Pendidikan Islam Negeri Perlis

MAIPs Tubuh Lembaga Penasihat dan Penyelarasan Pendidikan Islam Negeri Perlis

ANGAR, 15 Disember 2025 – Majlis Penyerahan Tauliah Pelantikan Ahli Lembaga Penasihat dan Penyelarasan Pendidikan Islam Negeri Perlis telah berlangsung dengan jayanya di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, di sini, baru-baru ini.

Majlis berkenaan menyaksikan penyerahan tauliah pelantikan yang dikurniakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Penubuhan lembaga penasihat dan penyelarasan itu, yang diwujudkan buat julung kalinya oleh MAIPs, mencerminkan kesungguhan badan tertinggi agama Islam negeri dalam memperkasa serta menambah baik sistem pendidikan Islam di Negeri Perlis secara lebih sistematik, tersusun dan holistik.

Lembaga berkenaan berperanan penting dalam merangka, menasihati serta menyelaras hala tuju pendidikan Islam negeri agar selari dengan keperluan semasa, berpaksikan nilai-nilai Rabbani dan berorientasikan kecemerlangan berterusan.

Pelantikan tersebut menyaksikan Profesor Madya Dr. Mohd Akram bin Datuk Dahaman@Dahlan dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat dan Penyelarasan Pendidikan Islam Negeri Perlis.

Turut dilantik sebagai ahli lembaga ialah Profesor Dr. Asyraf Isyraqi bin Jamil, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Global, Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ); Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim bin Mohd Noor; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Maizura binti Shamsuddin; Timbalan Mufti Negeri Perlis, Haji Tajul Urus bin Abdul Halim; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza bin Che Arifin; Pengarah Yayasan Islam Perlis, Noorhamizi bin Mohd Yaacob; Ketua Penolong Pengarah Pendidikan JAIPs, Muhammad Haafzuddin bin Abirerrah serta Penolong Pengarah Pendidikan JAIPs, Mohammad Isyraf bin Ishak.

Dalam titahnya, Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua ahli lembaga yang dilantik dan berharap amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan penuh integriti, iltizam serta tanggungjawab demi memartabatkan syiar Islam dan menjamin masa depan pendidikan generasi muda di Negeri Perlis.

Baginda turut menzahirkan keyakinan bahawa penubuhan lembaga berkenaan mampu menjadi platform strategik dalam melahirkan generasi Rabbani yang berilmu, berakhlak mulia dan cemerlang dalam pelbagai bidang.

Pada majlis yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada seramai 30 orang asnaf terpilih, melibatkan 15 penerima dari kariah Masjid Alwi, Kangar dan 15 penerima dari kariah Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Jumlah keseluruhan sumbangan yang disalurkan pada majlis berkenaan bernilai RM21,000.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.