SIMPANG AMPAT, 16 Disember 2025 – Tahap literasi kewangan yang tinggi dalam kalangan rakyat merupakan tonggak penting kepada pembangunan sosial dan ekonomi Negeri Perlis yang mampan serta berdaya saing.
Sehubungan itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar kerjasama antara pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan dan pihak swasta terus diperkukuhkan bagi melaksanakan program pendidikan kewangan yang menyeluruh, khususnya di peringkat sekolah dan komuniti.
Baginda turut menyarankan agar pendekatan pembelajaran berasaskan aktiviti, simulasi dan latihan praktikal diperkasakan bagi menjadikan ilmu pengurusan kewangan lebih menarik, mudah difahami serta berkesan kepada golongan pelajar.
Menurut Baginda, pendedahan berterusan serta bimbingan yang tersusun diyakini mampu melahirkan rakyat Perlis, khususnya generasi muda, yang lebih celik kewangan, berkeupayaan mengurus pendapatan dengan bijak dan seterusnya menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negeri.
Demikian titah saranan Raja Muda Perlis menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas Baginda berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli di sekitar Simpang Ampat, di sini, baru-baru ini.
Program berkenaan dilaksanakan menerusi kayuhan amal berbasikal yang bertujuan mendekati masyarakat setempat sambil menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf. Inisiatif tersebut menjadi wadah berkesan yang menggabungkan elemen sukan, kesihatan dan keprihatinan sosial dalam satu usaha bersepadu membantu golongan memerlukan di negeri ini.
Program itu juga mencerminkan komitmen berterusan MAIPs dalam memastikan kesejahteraan ummah serta keseimbangan pembangunan sosial dapat dipelihara secara inklusif.
Sempena kayuhan amal tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan MAIPs berupa wang tunai, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah kepada para penerima terpilih.
Antara asnaf yang menerima sumbangan pada edisi kali ini ialah Zuri Zulkifli, 38, dari Kampung Bongor Kudong; Azizul Rahman Bahari, 59, dari Kampung Padang Petani; dan Mohd. Hisham Said, 41, dari Kampung Bongor Kudong.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia