Raja Muda Perlis Zahir Takziah Pemergian Bekas CEO Pertama MAIPs

CEO pertama MAIPs

KANGAR, 23 Dis — Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tuan Haji Abdul Malik Hussin yang meninggal dunia awal pagi Isnin.

Selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Baginda turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh warga MAIPs serta pengurusan hal ehwal Islam Negeri Perlis atas pemergian seorang tokoh yang banyak berjasa dalam pembangunan dan pemerkasaan institusi Islam di negeri ini.

Allahyarham merupakan Ketua Pegawai Eksekutif pertama MAIPs yang berkhidmat dari 2010 hingga 2015 dan berperanan penting meletakkan asas pengurusan MAIPs secara lebih tersusun dan strategik.

Sebelum itu, Allahyarham mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan dan Negeri, termasuk pernah berkhidmat di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ketua Penolong Pengarah Bahagian Takmir serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

Pada era kepimpinan beliau, MAIPs menyaksikan proses transformasi pengurusan melalui kerjasama strategik dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) pada 2011, sekali gus memperkukuh tadbir urus dan sistem penyampaian perkhidmatan.

Allahyarham turut menggagaskan beberapa program turun padang MAIPs seperti MAIPs Peduli dan Hijrah Minda bagi mendekati masyarakat, khususnya golongan asnaf dan rentan.

Selepas bersara pada 2015, Allahyarham terus diberi kepercayaan memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Zakat MAIPs serta Timbalan Pengerusi II Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Negeri Perlis.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada kira-kira jam 3.40 pagi selepas mengalami kemerosotan kesihatan.

Pemergian beliau disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada pengurusan hal ehwal Islam di Negeri Perlis.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.