MADINAH MUNAWWARAH, 29 Disember 2025 — Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, menasihatkan para pelajar Perlis yang sedang menuntut di Arab Saudi serta di luar negara agar sentiasa mengambil peluang untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman sepanjang berada di perantauan.
Menurut Baginda, kehidupan sebagai perantau membuka ruang luas untuk membentuk jati diri, kematangan pemikiran serta memperkayakan perspektif hidup sekiranya peluang tersebut dimanfaatkan dengan bersungguh-sungguh, bukan sekadar bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata.
Baginda bertitah, pelbagai pengalaman berharga boleh diperoleh apabila seseorang pelajar berusaha mencari ruang pembelajaran di luar bilik kuliah, termasuk melalui interaksi sosial, penglibatan komuniti dan pendedahan kepada budaya serta latar masyarakat yang berbeza.
“Pengalaman di rantau orang turut melibatkan pembinaan sahsiah, disiplin diri serta keupayaan menyesuaikan diri dalam persekitaran yang asing. Justeru, para pelajar disaran supaya bersikap proaktif, berani mencuba perkara baharu yang positif serta sentiasa menjaga adab dan akhlak, sekali gus menjadi duta kecil negeri dan negara di mata masyarakat antarabangsa,” titah Baginda.
Selain melazimi majlis dan program keilmuan, Raja Muda Perlis turut menggalakkan para pelajar melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan yang dibenarkan serta bergaul secara berhemah dengan masyarakat setempat dan pelajar antarabangsa lain. Pendekatan tersebut, menurut Baginda, mampu memperluas jaringan persahabatan, membina kefahaman silang budaya serta meningkatkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan.
Baginda bertitah demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan menerima mengadap Wakil Pelajar Perlis di Madinah, Uzair Radzi, baru-baru ini. Pada masa ini, dua orang pelajar Perlis sedang melanjutkan pengajian di Universiti Islam Madinah, iaitu Uzair Radzi dan Talhah Mohd Asri.
Dalam masa yang sama, Baginda turut mengingatkan agar setiap cabaran dan ujian hidup di perantauan dijadikan medan pembelajaran, termasuk dalam aspek pengurusan masa, kewangan, emosi serta hubungan sesama insan, yang mampu melahirkan jiwa lebih kental, matang dan berdaya tahan.
Pada majlis berkenaan, Baginda yang juga Tuanku Yang Dipertua MAIPs berkenan menyampaikan Sumbangan Pelajaran Fi Sabilillah MAIPs kepada kedua-dua pelajar Perlis yang berada di Madinah.
Dalam kesempatan berasingan, Raja Muda Perlis turut berkenan menyantuni anak-anak Perlis yang melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda di King Abdulaziz University, Jeddah, iaitu Mohamad Firdaus Mat Zainon dan Nuruliman Ismi Anuar. Seorang lagi bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ – MAIPs), Nurul Widad Ismi Anuar, turut melanjutkan pengajian di universiti berkenaan.
Selain itu, seorang lagi anak Perlis, Hamzah Handzalah Jamalludin, kini menyambung pengajian di peringkat Sarjana di Taif University.
Raja Muda Perlis bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda-anakanda dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis kini berada di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah. Turut serta ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.