Pelancong Arab Saudi dipelawa masukkan Perlis dalam itinerari TMM 2026

Pelancong Arab Saudi dipelawa masukkan Perlis dalam itinerari TMM 2026

29 Disember 2025.
Jeddah, Arab Saudi.

Pelancong dari Arab Saudi dipelawa untuk memasukkan Perlis dalam itinerari perjalanan mereka ke Malaysia, terutamanya sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Undangan ini turut dipanjangkan kepada diaspora Malaysia yang bermastautin di sana apabila pulang bercuti ke tanahair.

Dengan peningkatan kemudahan pelancongan sempena TMM 2026 hasil persediaan melalui kempen promosi Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026, Perlis kini semakin bersedia untuk menerima kunjungan pelancong antarabangsa, termasuk dari Timur Tengah, dengan layanan mesra dan pengalaman yang berbeza.

Negeri ini menawarkan pengalaman pelancongan yang unik, menggabungkan kemudahan mesra Muslim dengan tarikan budaya dan alam semula jadi.

Perlis memiliki suasana yang sangat kondusif untuk pelancong Muslim, dengan penekanan terhadap amalan dan persekitaran Islami. Program seperti Perlis International Sunnah Convention pada 31 Januari hingga 1 Februari 2026 yang dikendalikan dalam Bahasa Inggeris, dan Perkampungan Sunnah pada bulan Mei nanti dalam Bahasa Melayu adalah bukti komitmen negeri ini terhadap pelancongan Islamik, memastikan rasa selesa dan ketenangan fikiran bagi pengunjung Muslim.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut kenyataan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis selepas Baginda berkenan melancarkan Promosi Masakan Perlis berupa Kurma Daging Perlis yang diadakan di Restoran MyMakan yang terletak di Raoudat Al Khaleej Ar Rawdah, Jeddah, Arab Saudi.

Majlis promosi tersebut menyaksikan MyMakan yang diwakili Ketua Cefnya, Hazrul Abdul Hamid, menerima Plaka Perasmian Promosi Masakan Perlis sebagai simbol sokongan dan pengiktirafan terhadap usaha memperkenalkan warisan kulinari Perlis ke peringkat antarabangsa, termasuk di bumi Arab Saudi. Inisiatif ini turut mencerminkan usaha berterusan memartabatkan identiti negeri melalui diplomasi budaya dan gastronomi.

Inisiatif ini adalah anjuran restoran berkenaan dengan kerjasama Pejabat Konsul Haji Malaysia di Jeddah bersama-sama rakan strategik seperti YTSP Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), dan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Turut berangkat mengiringi Baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama ahli keluarga Diraja terdiri daripada Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail, dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Mengiringi usrah DiRaja adalah, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Konsul Haji Malaysia di Jeddah, Radin Adi Hilmi Radin Shamsudin, dan Naib Konsul, Haji Affandi Abdullah.

(Foto Ihsan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis)

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.