KUALA PERLIS, 2 Januari 2026 — Gejala negatif seperti buli, sama ada secara fizikal, lisan mahupun siber, yang boleh menggugat keselamatan dan kesejahteraan di sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), kem-kem latihan serta di mana-mana peringkat, perlu dibendung secara menyeluruh dan bersepadu.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha membanteras budaya buli harus sentiasa diperkukuh agar lokasi-lokasi pembelajaran dan pembangunan insan kekal sebagai ruang yang selamat, kondusif serta menyenangkan untuk warga menimba ilmu dan berkembang secara holistik.
“Semua pihak termasuk pengurusan, ibu bapa dan masyarakat setempat perlu terus berganding bahu bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang harmoni, positif dan sejahtera dapat dibina serta dikekalkan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai baru-baru ini.
Program tersebut mencerminkan keprihatinan berterusan institusi diraja bersama MAIPs terhadap kesejahteraan masyarakat setempat, khususnya golongan asnaf, di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta memperkukuh hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat.
Sempena sesi kayuhan, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyantuni dan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada Setra@Norlia Ali, 65, dari Kampung Tandiap Seberang Ramai; Hasnah Taha, 64, dari Kampung Baru Seberang Ramai; serta Azmirul Azizan, 37, dari Kampung Seberang Alor, sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan mereka dan usaha meringankan beban kehidupan seharian.
Selain itu, baginda turut berkenan menyempurnakan simbolik penyerahan tiga buah ‘Kiosk Niaga Usahawan Asnaf MAIPs’ kepada pengurusan komuniti kampung berkenaan, selaras dengan usaha berterusan MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) bagi memperkasa ekonomi golongan asnaf secara mampan.
Inisiatif berkenaan diharap dapat membuka peluang penjanaan pendapatan yang lebih stabil, sekali gus meningkatkan taraf hidup penerima serta membolehkan mereka berdikari dalam jangka panjang.
Pada program sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis (YTSP) turut menyerahkan sumbangan yayasan kepada sembilan keluarga mangsa banjir besar yang melanda Perlis bulan lalu.