Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan Istana Arau
8 JAN. 2026
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah supaya setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengutamakan khidmat untuk rakyat tanpa mengira parti.
Baginda bertitah jika tidak ia akan merosakkan mandat yang diberikan oleh rakyat yang telah memilih ADUN bagi berkhidmat untuk mereka.
“Lupakan dahulu soal parti, berusahalah memenuhi keperluan rakyat dalam tempoh dua tahun ini sebelum diadakan semula Pilihan Raya,” titah Baginda selepas upacara pelantikan dan mengangkat sumpah Exco di Bilik Hijau, Istana Arau, pada kira-kira pukul 11.30 pagi ini.
AHLI MAJLIS MESYUARAT
Empat ADUN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perlis di hadapan Baginda.
Berangkat sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah diiringi Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Majlis turut disaksikan oleh Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah; bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli; Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail; Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Perlis, Yang Zaimey Yang Ghazali dan Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan.
Tuanku Syed Sirajuddin juga bertitah supaya kerajaan negeri
memperkukuhkan hubungan dengan Kerajaan Pusat demi kemajuan negeri ini.
SEMASA KE SEMASA
Sehubungan itu titah Baginda, barisan Exco perlu mengadakan pertemuan dari semasa ke semasa dengan pegawai atau menteri Kerajaan Pusat.
Baginda bertitah pertemuan ini penting sebagai meminta pandangan dan juga bantuan.
Baginda bertitah jikalau tidak bertemu dengan pegawai atau menteri, mereka tidak akan tahu apa bantuan yang Perlis perlukan.
“Tidak kisahlah jika hanya dua saja diluluskan dari 10 yang diminta kerana sekurang-kurangnya apa yang diperlukan telah mendapat perhatian Kerajaan Pusat,” titah Baginda. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia
Tarikh kemaskini: 1/9/2026