MAIPs Salur RM8.4 Juta Bantuan Persekolahan, 12,057 Pelajar Asnaf Perlis Terbela

MAIPs Salur RM8.4 Juta Bantuan Persekolahan, 12,057 Pelajar Asnaf Perlis Terbela

9Januari 2026

Kangar

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan peruntukan berjumlah RM8,439,900 bagi Bantuan Persekolahan 2026, memanfaatkan seramai 12,057 pelajar asnaf di seluruh negeri Perlis.

Menurut kenyataan MAIPs, simbolik penyerahan bantuan berkenaan telah disempurnakan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis, di perkarangan Kompleks Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Kangar, baru-baru ini.

Mengiringi Baginda ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Ariffin serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Mohd Nazim berkata, peruntukan berjumlah RM8.4 juta itu merupakan manifestasi keprihatinan berterusan MAIPs terhadap kebajikan pendidikan golongan asnaf, khususnya dalam membantu meringankan beban kos persekolahan yang semakin meningkat.

“Daripada jumlah keseluruhan peruntukan, RM3,207,400 diperuntukkan kepada pelajar sekolah menengah manakala RM5,232,500 disalurkan kepada pelajar sekolah rendah. Setiap penerima menerima bantuan berjumlah RM700 seorang,” katanya.

Beliau menjelaskan, setiap pelajar menerima RM300 bagi sumbangan pakaian, alat tulis dan kelengkapan sekolah, RM300 untuk aktiviti kecemerlangan pendidikan serta pembangunan sahsiah, dan RM100 sebagai sumbangan tunai. Pendekatan agihan berstruktur ini bertujuan memastikan keperluan asas persekolahan, pembangunan potensi akademik serta pembentukan sahsiah pelajar asnaf diperkukuh secara menyeluruh.

Berdasarkan kadar agihan tersebut, seramai 4,582 pelajar sekolah menengah dan 7,475 pelajar sekolah rendah menerima manfaat, menjadikan keseluruhan 12,057 pelajar asnaf menerima Bantuan Persekolahan MAIPs bagi tahun 2026.

MAIPs optimis usaha berkenaan akan terus memperkukuh agenda pendidikan di Negeri Perlis, sekali gus memastikan kebajikan dan masa depan anak-anak asnaf terus terbela serta tidak tercicir daripada arus pendidikan akibat kekangan kewangan.

Bantuan ini disalurkan hasil kerjasama strategik MAIPs dan Jabatan Pendidikan Negeri, melibatkan pengurusan sekolah di seluruh Perlis yang mengemukakan cadangan penerima melalui sistem maklumat dalam talian bagi memastikan proses pemilihan dilaksanakan secara telus, berfokus dan menepati golongan sasar.

Dalam usaha memperkemaskan pelaksanaan agihan, MAIPs turut melantik Guru-guru Muraqib Amil bagi membantu mengenal pasti pelajar asnaf yang layak, sekali gus memastikan kebajikan golongan sasar dapat disantuni secara lebih berkesan dan menyeluruh.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.