KANGAR, 21 Jan — Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memulakan inisiatif pengumpulan maklumat menerusi Kajian Kaji Selidik Penggunaan Beras bagi menetapkan kadar Zakat Fitrah Negeri Perlis bagi tahun 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi.
Kajian yang berlangsung dari 20 hingga 27 Januari 2026 itu telah dilancarkan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis selaku Yang Dipertua MAIPs.
Turut berkenan berangkat mengiringi Baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Pelaksanaan kajian berkenaan adalah susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Zakat MAIPs Bilangan 1 Tahun 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor, berkata kajian tersebut penting bagi memastikan penetapan kadar zakat fitrah dibuat secara tepat mengikut ketetapan dasar, iaitu berdasarkan jenis beras yang menjadi makanan asasi (Qut Balad) majoriti masyarakat Islam di Perlis ketika ini.
Beliau berkata, hasil kajian berkenaan akan dijadikan asas penyediaan satu kertas cadangan untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang dipengerusikan oleh Mufti Negeri Perlis, sebelum kadar zakat fitrah dimuktamadkan.
“Kajian ini bertujuan mendapatkan maklumat berkaitan jenis beras yang digunakan oleh masyarakat bagi penetapan kadar Zakat Fitrah Negeri Perlis Tahun 1447 Hijrah. Kerjasama dan perhatian masyarakat amatlah dihargai,” katanya dalam satu kenyataan MAIPs hari ini.
Sehubungan itu, MAIPs menyeru seluruh umat Islam di negeri ini untuk memberikan maklum balas melalui pautan rasmi yang disediakan.
Dapatan kajian akan dianalisis secara menyeluruh bagi menentukan kadar yang adil dan saksama untuk pelaksanaan ibadah zakat fitrah pada Ramadan tahun ini.
Orang ramai boleh menyertai kajian tersebut menerusi portal rasmi MAIPs di www.maips.gov.my atau dengan mengimbas kod QR yang dipaparkan di platform media sosial rasmi MAIPs.
Kajian dibuka selama seminggu dan pihak MAIPs merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih atas kerjasama semua pihak.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia