ATAM Perlu Jadi Institusi Strategik Transformasi Asnaf – Raja Muda Perlis

ATAM Perlu Jadi Institusi Strategik Transformasi Asnaf – Raja Muda Perlis

KRABI (Thailand), 23 Januari — DYTM Tuanku Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan bahawa Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) perlu berperanan sebagai sebuah institusi strategik yang benar-benar mentransformasikan golongan asnaf daripada sifat kebergantungan kepada keupayaan, selaras dengan hala tuju pembangunan negeri Perlis.

Titah baginda disampaikan pada Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) bagi membincangkan Hala Tuju ATAM 2026–2030 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Hotel Grand Mercure Ao Nang, di sini, petang ini.

Menurut baginda, penubuhan ATAM tidak seharusnya terhad kepada pelaksanaan latihan atau program jangka pendek semata-mata, sebaliknya perlu berfungsi sebagai institusi terbaik yang melahirkan asnaf berdaya saing, berdikari dan akhirnya mampu menjadi penyumbang kepada masyarakat serta ekonomi.

“Transformasi ini penting agar golongan asnaf tidak kekal sebagai penerima bantuan, sebaliknya memiliki keupayaan untuk membina kehidupan yang lebih stabil dan bermaruah,” titah baginda.

DYTM Tuanku Raja Muda Perlis turut bertitah bahawa hala tuju ATAM bagi tempoh lima tahun akan datang perlu jelas, berfokus serta berpaksikan kepada impak sebenar terhadap kehidupan asnaf di negeri Perlis, seiring dengan hala tuju strategik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Baginda menasihatkan agar ATAM memberi penekanan serius terhadap pembangunan modal insan secara menyeluruh, termasuk program berasaskan kemahiran sebenar, keusahawanan, kebolehpasaran pekerjaan serta literasi kewangan dan digital bagi memastikan asnaf mampu bersaing dan hidup berdikari dalam jangka panjang.

Selain itu, aspek tadbir urus, pemantauan dan penilaian juga perlu diperkasakan dengan setiap program diukur berdasarkan hasil dan impak, bukan sekadar bilangan penyertaan atau jumlah perbelanjaan.

“Pendekatan berasaskan data, analisis dan maklum balas amat penting bagi memastikan dana yang disalurkan diuruskan secara amanah, telus dan berkesan,” titah baginda.

Mengakhiri titah, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis menyeru semua Ahli Lembaga Pengarah ATAM agar memikul amanah tersebut dengan penuh tanggungjawab, integriti dan visi yang jelas demi melahirkan lebih ramai asnaf yang berjaya serta memberi manfaat kepada masyarakat dan negeri Perlis.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.