Oleh: Sholina Osman
24 JAN. 2026
Perlis International Sunnah Convention (PISC) 2026 dari 30 Januari hingga 1 Februari 2026 ini di Dewan 2020, Kangar bukan sekadar majlis ilmu biasa, tetapi merupakan satu fenomena dakwah yang memberi impak besar kepada pengunjungnya.
PISC saban tahun menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat awam dengan cendekiawan serta pakar rujuk agama dari pelbagai negara.
Setiap yang hadir berpeluang menimba ilmu daripada tokoh yang pakar dalam bidang hadis, fiqh, dan pemikiran Islam secara bersemuka.
Sesuai dengan temanya, konvensyen ini memberi penekanan khusus kepada pemurnian agama.
DALIL-DALIL SAHIH
Ia membantu kita memahami Islam yang lebih murni, berlandaskan dalil-dalil sahih, sekali gus menjauhkan diri daripada amalan yang mengelirukan atau tidak mempunyai sandaran agama yang kuat.
Jabatan Mufti Negeri Perlis bersama-sama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjaya mengangkat acara ini sebagai produk pelancongan ilmu.
Sambil belajar, boleh bercuti bersama keluarga dalam suasana negeri Perlis yang mendamaikan, lengkap dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti jualan buku dan sebagainya.
Setiap yang hadir akan bertemu dengan ribuan peserta lain yang mempunyai semangat yang sama dalam mencari kebenaran dapat menyuntik inspirasi luar biasa.
MEMBINA JARINGAN UKHUWAH
Ini adalah platform terbaik untuk membina jaringan ukhuwah dengan komuniti yang cintakan ilmu.
Program ini juga mendidik umat untuk tidak sekadar mengikut membuta tuli, sebaliknya sentiasa dahagakan penjelasan yang berteraskan ilmu dan hujah yang jelas.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selepas berkenan berangkat bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil melancarkan promosi masakan tradisional negeri Perlis, berupa hidangan istimewa Kurma Daging Perlis di The Expressionz Professional Suites, bersebelahan Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur baru-baru ini.
PROGRAM YANG DIANJURKAN
Menyambut keberangkatan Baginda berdua ke program yang dianjurkan oleh Persatuan Alumni UiTM Perlis dengan kerjasama Akademi Memasak Chef Liza, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), ialah Presiden Persatuan Alumni UiTM Perlis, Ahmad Shamsul Baharin Mohd Hanafiah dan Pengarah Akademi Memasak Chef Liza, Chef Dr. Liza Zainol.
Kurma Daging Perlis ini akan diketengahkan sebagai salah satu menu utama dalam sesi pembelajaran akademi kuliner yang menawarkan pelbagai kelas memasak, kursus baking, perkhidmatan katering, serta pelbagai aktiviti kuliner lain.
Sebagai rekod, Kurma Daging Perlis merupakan salah satu hidangan tradisional yang menjadi identiti kulinari negeri Perlis.
Hidangan istimewa ini telah dipromosikan bukan sahaja di dalam negara, malah ke peringkat antarabangsa melalui pelbagai inisiatif rasmi serta program promosi makanan, menjangkau lebih 38 buah negara, merentasi lima benua, dan disajikan di lebih 111 restoran di seluruh dunia atas inisiatif Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis sendiri. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia