KANGAR, 1 Februari 2026 — Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menzahirkan komitmen tinggi dalam agenda kemanusiaan sejagat apabila menyalurkan sumbangan berjumlah RM150,000 bagi membantu mangsa banjir di wilayah Acheh, Indonesia.
Inisiatif tersebut mencerminkan keprihatinan umat Islam di Perlis terhadap bencana besar yang melanda wilayah berkenaan baru-baru ini sehingga mengakibatkan kemusnahan harta benda serta kehilangan nyawa.
Majlis penyerahan sumbangan berlangsung bersempena penganjuran Perlis International Sunnah Convention (PISC) 2026 di Kangar, malam tadi. Majlis simbolik itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs, bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Dana bantuan tersebut hasil kutipan serentak di 101 masjid seluruh negeri menerusi Tabung Bantuan Kemanusiaan Mangsa Banjir Acheh. Kutipan itu turut disumbangkan oleh pelbagai lapisan masyarakat serta para dermawan yang menyahut seruan kebajikan anjuran MAIPs.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor berkata, penglibatan seluruh kariah masjid membuktikan institusi masjid di Perlis berperanan penting sebagai pusat penggerak kebajikan dan perpaduan ummah merentasi sempadan geografi.
“Sumbangan ini adalah amanah daripada seluruh umat Perlis. MAIPs amat terharu dengan maklum balas masyarakat. Dalam tempoh singkat, kutipan daripada 101 masjid menunjukkan kuatnya semangat solidariti terhadap saudara kita di Acheh yang sedang diuji dengan bencana banjir besar,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Yayasan Ubudiah Acheh dipilih sebagai rakan pelaksana dengan kerjasama Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Medan berdasarkan pengalaman NGO tersebut yang mempunyai rangkaian kukuh di kawasan terjejas.
MAIPs dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada semua jawatankuasa masjid dan para penderma, dengan harapan bantuan itu memberi sinar harapan kepada mangsa banjir untuk bangkit semula membina kehidupan.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia