UniMAP–MAIPs Peduli 2026 Perkukuh Kerjasama Santuni Masyarakat

UniMAP–MAIPs Peduli 2026 Perkukuh Kerjasama Santuni Masyarakat

8 Februari 2026, Pauh Putra. Program UniMAP–MAIPs Peduli 2026 menjadi manifestasi kerjasama strategik antara Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam usaha menyantuni masyarakat serta memperkukuh nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan kebajikan ummah.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli, berkata kerjasama tersebut bukan sekadar menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan, malah turut berperanan membina kesedaran sosial serta memupuk budaya prihatin dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga universiti.

“Program UniMAP–MAIPs Peduli mencerminkan komitmen berterusan UniMAP dalam memainkan peranan sebagai institusi pengajian tinggi yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik dan penyelidikan, malah memikul tanggungjawab sosial kepada masyarakat,” katanya.

Sebagai universiti teknikal berteraskan kejuruteraan, UniMAP percaya kecemerlangan dalam akademik, penyelidikan dan inovasi perlu seiring dengan tanggungjawab sosial. Prinsip ini menjadi teras kepada aspirasi UniMAP4Society, iaitu membawa ilmu, kepakaran dan inovasi universiti untuk dimanfaatkan secara langsung oleh masyarakat.

Melalui pelaksanaan program tersebut, warga universiti turun padang mendekati komuniti, menyantuni golongan memerlukan serta memupuk rasa tanggungjawab, keprihatinan dan empati dalam usaha membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Program itu diharap dapat memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti setempat, sekali gus menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih sejahtera, berdaya tahan dan inklusif.

Demikian ucapan Datuk Zaliman sempena Majlis Santapan Malam Program UniMAP–MAIPs Peduli yang diadakan di Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra baru-baru ini.

Majlis bertemakan kartun dan adiwira itu diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis merangkap Tuanku Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, serta Raja Puan Muda Perlis merangkap Pro Canselor UniMAP, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.