Raja Perlis Zahir Ucapan Tahun Baharu Cina, Seru Perpaduan Terus Diperkukuh

Raja Perlis zahir ucapan Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid bersama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tionghua, khususnya rakyat Negeri Perlis yang meraikannya.

Baginda menzahirkan harapan agar sambutan perayaan itu membawa kebahagiaan, kesejahteraan dan kemakmuran kepada semua.

Menurut Baginda, Tahun Baharu Cina bukan sahaja melambangkan permulaan baharu dalam kalendar masyarakat Cina, malah menjadi wadah penting dalam memperkukuh semangat kekeluargaan, perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Baginda turut bertitah kepelbagaian budaya dan tradisi yang diraikan bersama merupakan kekuatan utama yang menyatukan rakyat Perlis dalam suasana hormat-menghormati dan saling memahami.
Semangat muhibah serta toleransi yang sekian lama terjalin, titah Baginda, perlu terus dipelihara demi menjamin kestabilan serta kemajuan negeri.

Tuanku Syed Sirajuddin menzahirkan titah itu ketika berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka sempena Sambutan Tahun Baharu Cina yang dihoskan Tan Sri Lee Kim Yew dan Puan Sri Tan Bee Hong di sini.

Duli-Duli Tuanku berkenan berangkat ke majlis berkenaan diiringi cucunda Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Majlis turut diserikan dengan persembahan simbolik mercun kuning sebagai tanda kemakmuran dan kesejahteraan serta Upacara Loh Sang yang melambangkan perpaduan dan keberkatan.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.