Kangar – Adat dan agama yang disinergikan dengan sistem pemerintahan menjadi tunjang penting bagi memperkukuh institusi Raja Berperlembagaan serta menjamin kelangsungan identiti bangsa dan kedaulatan negeri, titah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah bahawa adat Melayu bukan sekadar simbol budaya atau ritual semata-mata, sebaliknya merupakan sistem nilai yang membentuk masyarakat sejak turun-temurun.
“Agama Islam ialah panduan kehidupan dan rujukan utama dalam segala aspek pentadbiran serta kehidupan rakyat di negara ini.
“Dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam bukan hanya agama rasmi, bahkan raja merupakan ketua agama bagi negerinya,” titah baginda.
Titah baginda, hubungan yang erat dan harmoni antara adat dengan agama akan memperkukuhkan lagi sistem pemerintahan raja berperlembagaan yang dijunjung pada hari ini.
Titah tersebut dizahirkan selepas baginda berkenan mengetuai Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis di sekitar Kangar, baru-baru ini.
Program Kayuhan MAIPs Peduli yang diketuai sendiri oleh baginda selaku Tuanku Yang Dipertua MAIPs bukan sahaja menjadi aktiviti riadah berbasikal, malah berfungsi sebagai platform dakwah dan kebajikan lapangan bagi menyantuni golongan memerlukan.
Antara objektif utama program tersebut termasuklah menyalurkan bantuan secara terus ke kediaman asnaf terpilih bagi memastikan kebajikan mereka diberi perhatian secara lebih berkesan dan menyeluruh.
Sempena edisi kali ini, baginda turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan berupa wang tunai RM700, kit MAIPs Peduli serta beras fidyah kepada penerima terpilih.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia