Raja Muda Perlis Harap JDPPs Terus Perkukuh Legasi dan Kebajikan Rakyat

Raja Muda Perlis Harap JDPPs Terus Perkukuh Legasi dan Kebajikan Rakyat

KANGAR, 21 Mei — Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan harapan agar Pertubuhan Jemaah Dato’-Dato’ Perlis (JDPPs) terus maju dan cemerlang dalam mencapai segala objektif yang digariskan di bawah perlembagaan pertubuhan.

Baginda bertitah, JDPPs perlu terus memainkan peranan penting dalam menyumbang bakti kepada rakyat serta kemajuan negeri Perlis.
Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, JDPPs juga disaran memperkukuhkan peranan dan legasinya menerusi usaha pendokumentasian sejarah organisasi, pemerkasaan ekonomi serta pelaksanaan pelbagai program yang memberi impak besar kepada masyarakat dan pembangunan negeri secara menyeluruh.

Baginda turut menyarankan penerbitan sebuah Buku Edisi Khas JDPPs 2001–2026 yang menghimpunkan sejarah penubuhan, perjalanan organisasi, aktiviti serta sumbangan tokoh-tokoh JDPPs sepanjang penubuhannya.

“Buku tersebut wajar memuatkan sebanyak mungkin khazanah sejarah, pengalaman serta jasa bakti JDPPs khususnya dalam bidang pendidikan dan kebajikan yang berpaksikan cogan kata ‘Bersetia, Bersatu dan Berbakti’,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Santapan Tengah Hari sempena Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Jemaah Dato’-Dato’ Perlis (JDPPs) Ke-25 Tahun 2026 di sini.

Keberangkatan tiba Baginda disambut Presiden JDPPs, Mejar Jeneral Datuk Husin Md Tahak (Bersara).

Mesyuarat Agung Tahunan JDPPs Tahun 2026 turut membincangkan pelbagai perkara penting termasuk pembentangan laporan aktiviti tahunan, pengurusan dana kebajikan serta perancangan program dan acara utama pertubuhan bagi tahun semasa.

Perbincangan tersebut mencerminkan komitmen berterusan JDPPs dalam memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan secara tersusun, berkesan dan memberi manfaat kepada ahli serta rakyat negeri Perlis secara keseluruhannya.

Selain itu, mesyuarat berkenaan turut menjadi platform penting dalam memperkukuhkan semangat permuafakatan, kesepaduan dan kerjasama dalam kalangan ahli JDPPs agar pertubuhan itu terus relevan sebagai sebuah badan yang sentiasa mendukung agenda kebajikan, perpaduan dan pembangunan masyarakat.

JDPPs juga komited untuk terus memainkan peranan aktif dalam menyokong usaha pembangunan negeri serta memperkasakan aktiviti kemasyarakatan yang memberi impak positif kepada rakyat Perlis.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.