Raja Puan Muda Perlis Berkenan Hadiri Majlis Tautan Kasih PUSPANITA MARA

Raja Puan Muda Perlis Berkenan Hadiri Majlis Tautan Kasih PUSPANITA MARA

KANGAR, 21 Mei — Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri Majlis Tautan Kasih bersama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang berlangsung di sini.

Keberangkatan tiba Baginda disambut Pengerusi PUSPANITA MARA, Datin Saiful Munira Md. Ali.

Turut hadir Timbalan Pengerusi PUSPANITA, Lailatul Asmah Mohd Tahir bersama barisan kepimpinan dan ahli-ahli PUSPANITA MARA.

Menurut Datin Saiful Munira dalam ucapan aluannya, penganjuran program itu merupakan kerjasama strategik antara Pejabat MARA Negeri Perlis dan PUSPANITA MARA dalam usaha memperkukuh penglibatan serta memperkasakan peranan wanita dalam bidang keusahawanan, pendidikan dan khidmat masyarakat.

Katanya, program berkenaan juga menjadi platform mempererat hubungan silaturahim, memperluas jaringan kerjasama serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga PUSPANITA MARA melalui pelbagai pengisian bermanfaat dan berimpak tinggi.

Antara pengisian utama program ialah lawatan pendidikan bagi memberi peluang kepada ahli-ahli PUSPANITA MARA mengenali dengan lebih dekat keunikan Perlis sebagai pengeluar utama Harumanis, varieti mangga premium yang menjadi identiti serta kebanggaan negeri itu.

Melalui lawatan tersebut, para peserta didedahkan kepada proses penanaman, pengurusan kebun, pemasaran serta potensi ekonomi industri Harumanis dalam menjana pendapatan usahawan tempatan dan memperkukuh sektor agro pelancongan negeri.

Program itu bukan sahaja memberi impak positif dari aspek pembangunan sahsiah dan perkongsian ilmu, malah turut memainkan peranan penting dalam mempromosikan produk tempatan Perlis ke peringkat lebih luas khususnya Harumanis yang semakin mendapat perhatian di dalam dan luar negara.

Inisiatif seumpama itu juga selaras dengan aspirasi melahirkan masyarakat yang lebih prihatin, berilmu dan berdaya saing melalui pendekatan jaringan komuniti, pendidikan sosial dan pemerkasaan wanita.

Para peserta turut mengadakan kunjungan ke Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis yang kini menjadi antara ikon utama pelancongan negeri.

Sempena majlis berkenaan, Tuanku Raja Puan Muda Perlis turut berkenan menyempurnakan simbolik pelancaran Sambutan Hari Wanita PUSPANITA MARA sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasa peranan serta sumbangan wanita dalam pelbagai bidang pembangunan negara.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.