Padang Besar 5 Mac – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru para pemain industri dalam sektor perhotelan dan rumah inap agar meneroka serta merebut peluang pelaburan yang semakin berkembang di sekitar Padang Besar dalam merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi tempatan melalui sektor pelancongan yang kian menunjukkan potensi memberangsangkan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah agar kemudahan perhotelan dan rumah inap di kawasan berkenaan terus dimanfaatkan serta diperkasakan secara strategik, selaras dengan kedudukan Padang Besar sebagai pintu masuk mustahak antara Malaysia dan Thailand di negeri Perlis. Kedudukan geografinya yang unik menjadikan kawasan ini tumpuan penting pergerakan pelancong rentas sempadan.
“Peningkatan jumlah pelancong terutamanya ketika musim cuti umum dan cuti sekolah, serta kehadiran pencinta flora dan fauna yang mendambakan suasana tenang jauh daripada kesibukan kota, jelas membuktikan bahawa Padang Besar mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai destinasi pelancongan yang lebih berdaya maju dan mampan”, titah Baginda lagi.
Tuanku Raja Muda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengadakan lawatan ke beberapa premis penginapan dan pelancongan di sekitar Padang Besar iaitu Club Rock Perlis, Border Villa serta Lee Garden Resort & Cafe bagi sama menyemarakkan lagi kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Club Rock Perlis yang sekarang dalam proses kerja-kerja akhir pembinaan akan dibuka tidak lama lagi menyediakan sebanyak 36 bilik penginapan yang dikelilingi keindahan flora dan fauna, menawarkan pengalaman santai dan mendamaikan kepada para pengunjung. Terletak di Club Rock Base Camp, Gua Kelam, Kaki Bukit, lokasi ini akan turut menyediakan aktiviti ‘rock climbing’ dan bakal menjadi tarikan utama kepada penggemar aktiviti lasak dan pencinta alam. Ia akan dirasmikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sempena Sambutan Ulangtahun Baginda tahun ini.
Lee Garden Resort & Cafe pula merupakan destinasi percutian baharu yang menawarkan suasana tenang, eksklusif serta dikelilingi keindahan alam semula jadi di utara tanah air di Lot 8448, Batu 18, Kampung Baru, Padang Besar. Resort ini mengetengahkan konsep vila dan kafe dalam suasana taman yang menghijau. Ia amat sesuai untuk percutian keluarga, pasangan, penganjuran majlis kecil, serta sesi fotografi.
Border Villa yanf mula beroperasi tahun lepas puka antara pilihan penginapan yang selesa dan strategik bagi pelancong serta pengunjung ke kawasan sempadan Malaysia–Thailand. Terletak berhampiran pusat pemeriksaan imigresen Padang Besar, lokasi ini amat sesuai untuk urusan perniagaan, percutian keluarga, mahupun perjalanan rentas sempadan. Berkonsep vila moden dan mesra keluarga, Border Villa menawarkan kemudahan lengkap termasuk bilik yang selesa, akses Wi-Fi percuma, kawasan parkir yang luas serta suasana persekitaran yang tenang.
Padang Besar kini menjadi tumpuan destinasi pelancongan strategik di negeri Perlis dengan gabungan keindahan alam, kemudahan penginapan dan peluang perniagaan. Dengan sokongan industri dan komuniti, kawasan ini berpotensi tinggi menjadi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia