SIMPANG EMPAT, 4 April 2026 — Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus komited memperkasa institusi pendidikan Islam serta membantu golongan memerlukan apabila menyalurkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM62,400 dalam program Hijrah Minda MAIPs di Masjid Ar-Rahman, Kampung Simpang Sanglang, di sini.
Sumbangan itu merangkumi RM41,400 kepada Maahad Tahfiz Al-Quran An-Nur Diniah, Sanglang, bagi menyokong kelangsungan operasi institusi berkenaan serta kebajikan pelajar dan tenaga pengajarnya.
Penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan berangkat ke majlis berkenaan. Mudir maahad berkenaan, Mohammad Syahiran Nordin, menerima sumbangan itu bagi pihak institusi terbabit.
Keberangkatan baginda mencerminkan keperihatinan berterusan MAIPs terhadap pembangunan pendidik tahfiz di negeri ini, khususnya dalam memastikan institusi pendidikan Islam terus diperkukuh dan dipelihara.
Pada majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan agihan Zakat MAIPs Peduli berjumlah RM 21,000 kepada 30 asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah setempat.
Agihan berkenaan selaras dengan objektif program yang memberi fokus kepada penyaluran bantuan secara terus kepada golongan sasar di peringkat komuniti.
Inisiatif itu bukan sahaja membantu meringankan beban penerima, malah menyerlahkan peranan proaktif MAIPs dalam memastikan kebajikan umat Islam di Perlis terus terbela menerusi pendekatan turun padang dan bantuan bersasar.
MAIPs akan terus mempergiat usaha seumpama ini sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan untuk memperkukuh kesejahteraan ummah serta memartabatkan institusi pendidikan Islam di negeri ini.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia