Raja Muda Perlis Titah Intervensi Pendidikan Berasaskan Data Diperkukuh

Raja Muda Perlis Titah Intervensi Pendidikan Berasaskan Data Diperkukuh

SIMPANG EMPAT, 22 Mei – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar intervensi pendidikan berasaskan data diperkukuhkan bagi meningkatkan prestasi pendidikan di negeri ini pada semua peringkat peperiksaan.

Baginda bertitah, penggunaan maklumat yang tepat bagi memantau prestasi mata pelajaran kritikal, kehadiran pelajar, status calon serta keberkesanan bimbingan pendidik perlu dipertingkat secara menyeluruh.

Menurut baginda, sokongan kepada calon yang memerlukan bimbingan juga mesti diperhebat menerusi pelbagai pendekatan termasuk program ziarah cakna, bimbingan kaunseling serta penglibatan aktif ibu bapa, penjaga dan agensi berkaitan.

Titah tersebut dizahirkan ketika baginda berkenan berangkat menyempurnakan Program Agihan Zakat MAIPs anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Putra Simpang Empat baru-baru ini.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Program berimpak tinggi itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan MAIPs dalam memastikan bantuan zakat disalurkan secara tersusun, telus dan berkesan kepada golongan asnaf melibatkan keseluruhan kariah di Negeri Perlis.

Dalam majlis tersebut, baginda berdua berkenan menyempurnakan agihan sumbangan zakat berjumlah RM105,000 yang memanfaatkan seramai 150 penerima terdiri daripada 75 anak kariah Simpang Empat dan 75 anak kariah Bunga Emas.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan harapan agar bantuan yang disalurkan bukan sahaja dapat meringankan beban penerima, malah menjadi pemangkin kepada peningkatan taraf hidup serta kesejahteraan komuniti secara menyeluruh.

Program MAIPs itu sekali lagi membuktikan komitmen berterusan institusi agama negeri dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial selaras aspirasi membina masyarakat yang lebih sejahtera, inklusif dan berdaya tahan.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.