Pendidikan Perlu Selari Keperluan Ekonomi Negeri – Raja Muda Perlis

Pendidikan Perlu Selari Keperluan Ekonomi Negeri – Raja Muda Perlis

ARAU, 14 Jun 2026 – Perancangan pendidikan di Perlis perlu diselaraskan dengan keperluan ekonomi semasa dan masa depan negeri serta diiktiraf sebagai satu pelaburan strategik yang mampu menjamin kemakmuran jangka panjang.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pembangunan sektor pendidikan tidak boleh dilihat secara terpisah daripada agenda pembangunan ekonomi negeri kerana kedua-duanya saling berkait dalam melahirkan modal insan berkualiti.

Titah baginda dizahirkan selepas berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis di sekitar Kampung Behor Mempelam, dekat sini baru-baru ini.

Menurut baginda, terdapat tiga rangka tindakan utama yang perlu diberi perhatian dalam merancang masa depan pendidikan negeri.

Pertama, sekolah baharu perlu dibina selari dengan pertumbuhan kawasan perumahan bagi memastikan akses pendidikan asas dapat dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang ekonomi.

Kedua, sektor pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) perlu terus diperkukuhkan bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan industri serta menyokong agenda perindustrian negeri.

Ketiga, sistem pembelajaran praktikal perlu diperkasakan seiring pencapaian akademik bagi melahirkan graduan yang lebih holistik, berdaya saing dan memenuhi kehendak pasaran pekerjaan semasa.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, pembangunan ekonomi dan industri Perlis yang mampan hanya dapat direalisasikan melalui penyertaan menyeluruh rakyat dalam ekosistem pendidikan yang inklusif dan berkualiti.

Sementara itu, Program Kayuhan MAIPs Peduli yang dilaksanakan secara berkala merupakan inisiatif MAIPs untuk mendekati masyarakat secara langsung, khususnya golongan asnaf, dengan meninjau keadaan hidup mereka serta menyalurkan bantuan yang diperlukan.

Pada program kali ini, tiga penerima menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700 setiap seorang berserta Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh baginda selaku Yang Dipertua MAIPs kepada Embun Mat, 71, dari Kampung Behor Mempelam; Saharudin Kamis, 63, dari Kampung Telaga Haji Latif; dan Zalina Lah, 56, dari Tambun Tulang.

Program tersebut mencerminkan komitmen berterusan MAIPs dalam memperkasa kebajikan golongan asnaf di negeri ini, di samping mengeratkan hubungan antara institusi agama dan masyarakat melalui pendekatan yang lebih dekat, mesra dan berkesan.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.