KANGAR, 1 Ogos – Seramai 17 pelajar baharu dalam kalangan asnaf terpilih seluruh Perlis menyertai Program ‘Zero to Hero’ kendalian The Welding Institute (TWI) di Shah Alam, Selangor selama empat bulan bermula hari ini.
Menurut Pengurus Besar Akademi Transformasi Asnaf Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Muhamad Farid Abdul Rahim, setiap Pelajar terpilih akan menerima tajaan hampir RM30,000 untuk mengikuti latihan di bawah program tajaan penuh MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs Sdn Bhd (ATAM).
“Program berperanan memperkasa ekonomi golongan asnaf menerusi latihan kemahiran serta penempatan kerja pelbagai sektor kemahiran tinggi sama ada di dalam atau luar negara.
“Pada masa sama, pelaburan kepada pembangunan insan melalui model latihan dan pekerjaan berkenaan dilihat pendekatan lebih efektif kerana mampu melahirkan generasi asnaf yang berkemahiran, berdikari dan berupaya menyumbang semula kepada masyarakat menerusi kemahiran dimiliki,”katanya pada majlis perasmian Program ‘Zero to Hero’ di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, di sini.
The Welding Institute (TWI) merupakan antara lebih 20 syarikat yang bekerjasama erat dengan MAIPs dan ATAM dalam menyediakan latihan kemahiran tinggi kepada golongan asnaf.
Sehingga kini lebih 3,000 asnaf di Perlis telah mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia