MAIPs sumbang RM50,000 sokong penubuhan Cahaya College di Melbourne

MAIPs sumbang RM50,000 sokong penubuhan Cahaya College di Melbourne

MELBOURNE, 11 Ogos – Penubuhan Cahaya College di Melbourne, Victoria bakal membuka lembaran baharu dalam penawaran pendidikan Islam berkualiti kepada komuniti Melayu Islam di Australia dengan menggabungkan kecemerlangan akademik dan pembentukan sahsiah berteraskan nilai Nusantara.

Usaha merealisasikan sekolah berkenaan mendapat sokongan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menerusi sumbangan dana RM50,000 bagi membantu usaha awal pembelian tanah untuk projek itu.

Raja Muda Perlis merangkap Yang Dipertua MAIPs, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyerahkan plaka simbolik sumbangan berkenaan kepada Kampung Utara Melbourne Inc. (KUM) di Melbourne, baru-baru ini.

Menurut kenyataan MAIPs hari ini, sumbangan itu selaras dengan keprihatinan baginda terhadap pembangunan pendidikan dan kebajikan masyarakat Melayu Islam di perantauan.

Inisiatif yang dipelopori KUM menerusi Pengerusinya, Rizal Mockram dan Naib Pengerusi, Ashraf Samsudin itu menyasarkan Cahaya College menjadi sekolah rasmi pertama di Melbourne yang dikelola dan diuruskan sepenuhnya oleh masyarakat Melayu Islam.

Rizal berkata, institusi berkenaan dirancang menawarkan model pendidikan holistik yang menggabungkan pembangunan akhlak berasaskan nilai Nusantara dengan sistem akademik berprestasi tinggi.

“Di samping kecemerlangan kurikulum, Cahaya College bakal memperkenalkan pendekatan bimbingan peribadi menerusi program Murabbi Circles yang menyediakan seorang mentor khusus bagi setiap 12 pelajar,” katanya.

Menurutnya, pembangunan karakter dan sahsiah setiap pelajar turut dipantau secara profesional serta didokumentasikan menerusi transkrip khas seiring pencapaian akademik mereka.

Rizal berkata, KUM sudah menerima tawaran sebidang tanah yang mempunyai permit sekolah di Victoria pada harga AUD13.5 juta, manakala keseluruhan pembangunan prasarana projek berkenaan dianggarkan menelan belanja antara AUD25 juta hingga AUD30 juta.

“Tapak berkenaan bakal dimiliki dan diuruskan di bawah struktur wakaf komuniti dengan hasil pendapatan sewa tapak akan disalurkan semula bagi manfaat berterusan masyarakat serta menjadi amal jariah yang kekal,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat menyumbang atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai projek Cahaya College boleh menghubungi KUM menerusi e-mel info@kum.org.au.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.