ARAU, 30 Sept – Institusi Raja kekal menjadi pasak kestabilan negara, benteng kedaulatan serta payung penyatuan rakyat dalam menghadapi perubahan landskap politik dan sosial semasa.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kedudukan Institusi Raja yang berkecuali dalam kerangka Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen memainkan peranan penting dalam memelihara keseimbangan politik serta menjamin kelangsungan pemerintahan.
Menurut baginda, peranan itu turut menjadi asas dalam memperkukuh keharmonian masyarakat merentasi kaum dan agama.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Wacana Adiwangsa 2026: Institusi Raja, Warisan dan Jiwa Bangsa di Dewan Seri Semarak, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis di sini.
Keberangkatan tiba baginda disambut Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof Madya Dr Ahmad Nizan Mat Noor.
Turut hadir Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM, Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan dan Penolong Naib Canselor (Pemerkasaan Adiwangsa) UiTM, Prof Dr Amer Shakir Zainol.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menekankan bahawa warisan, budaya dan bahasa tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai peninggalan sejarah, sebaliknya perlu diperkasakan sebagai kekuatan strategik dan lambang identiti bangsa yang bernilai tinggi.
“Warisan, budaya dan bahasa perlu diperkasa sebagai kekuatan strategik serta lambang identiti yang bernilai tinggi, bukan sekadar peninggalan sejarah.
“Khazanah tradisi juga perlu bergerak seiring inovasi dan teknologi agar terus berkembang, relevan serta mampu diketengahkan ke persada antarabangsa,” titah baginda.
Baginda berharap perbincangan serta perkongsian menerusi wacana berkenaan dapat memperluas pemahaman masyarakat, menyuburkan kesedaran dan memperkukuh komitmen bersama dalam memelihara Institusi Raja serta warisan negara.
Pada masa sama, usaha berkenaan penting dalam membentuk generasi yang berilmu, berintegriti, berwawasan serta memahami akar sejarah dan jati diri bangsa.
Wacana Adiwangsa 2026 anjuran UiTM Cawangan Perlis menjadi platform intelektual bagi memperkukuh penghayatan masyarakat terhadap Institusi Raja selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memelihara warisan, budaya dan identiti bangsa.
Program dari 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu menggabungkan pengisian akademik dan kesenian menerusi dua segmen utama.
Segmen Seminar Intelektual memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai sejarah, perlembagaan serta peranan Institusi Raja dalam memelihara identiti dan kestabilan negara.
Sementara itu, persembahan mini teater “Titah Berdarah” mengetengahkan nilai warisan dan jiwa bangsa menerusi seni persembahan sebagai pendekatan mendekatkan masyarakat, khususnya generasi muda, dengan sejarah dan khazanah negara.
SUARA MERDEKA