KANGAR, 29 Sept — Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus memperkukuh amalan tadbir urus berintegriti, telus dan berakauntabiliti bagi memastikan amanah kepada umat Islam dilaksanakan sebaiknya.
Baginda bertitah, setiap amanah yang diberikan hendaklah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dengan kepentingan agama serta kesejahteraan umat Islam sentiasa menjadi keutamaan.
Dalam usaha melakukan perubahan, baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, institusi berkenaan tidak seharusnya takut untuk menilai semula pendekatan yang didapati kurang berkesan.
“Apa yang baik hendaklah diteruskan, apa yang kurang berkesan diperbaiki dan apa yang sudah tidak lagi sesuai ditinggalkan,” titah baginda menurut kenyataan MAIPs.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan mempengerusikan Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bilangan Ke-5 Bagi Tahun 2026 di Kangar baru-baru ini.
Baginda turut mengingatkan bahawa usaha melakukan pembaharuan tidak semestinya perlu bermula dengan langkah berskala besar.
Sebaliknya, perubahan kecil yang dilakukan secara konsisten juga mampu memberikan impak besar kepada sesebuah organisasi.
Menurut baginda, perkara paling penting ialah wujudnya kesungguhan, disiplin dan keberanian untuk bertindak bagi memastikan setiap perubahan membawa hasil yang diharapkan.
Pada masa sama, Raja Muda Perlis mahu semua Ahli Majlis terus bekerja sebagai satu pasukan dan meletakkan kepentingan institusi mengatasi kepentingan individu.
Baginda mengingatkan bahawa MAIPs sebagai sebuah institusi agama adalah lebih besar daripada mana-mana individu, justeru kepentingan institusi, agama dan umat Islam perlu sentiasa didahulukan daripada sebarang kepentingan peribadi.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yakin kepimpinan yang berintegriti, sistem tadbir urus kukuh serta komitmen warga kerja mampu memastikan MAIPs terus berkembang sebagai institusi agama yang diyakini dan dihormati masyarakat.
Baginda turut berharap segala usaha berkenaan akhirnya dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada umat Islam, selaras dengan amanah dan tanggungjawab yang dipikul MAIPs.