Perlis berpotensi besar tarik pelaburan, perkukuh kerjasama korporat — Raja Muda

Perlis berpotensi besar tarik pelaburan, perkukuh kerjasama korporat — Raja Muda

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Perlis mempunyai potensi besar menarik pelaburan dalam sektor perdagangan, pelancongan, pertanian, pendidikan dan logistik berikutan kedudukan strategiknya di utara Semenanjung Malaysia serta hubungan rentas sempadan dengan Thailand.

Baginda berharap sektor korporat terus melihat Perlis sebagai destinasi pelaburan dan pembangunan, manakala kerajaan negeri kekal proaktif menyediakan persekitaran kondusif serta mesra pelabur bagi menarik penyertaan lebih banyak syarikat dan organisasi.

Menurut baginda, kerjasama antara sektor korporat dengan kerajaan negeri perlu diperkukuh secara tersusun, berterusan dan berorientasikan hasil supaya setiap inisiatif memberikan impak nyata kepada pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

Baginda turut menzahirkan penghargaan atas kesediaan sektor korporat bekerjasama menjayakan agenda pembangunan Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Majlis Apresiasi Penaja Sisipan Khas di Dalam Akhbar Tempatan Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-83 Tuanku Raja Perlis di Open House Conlay, di sini.

Majlis bertemakan ‘Safari’ itu dianjurkan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis bagi menghargai syarikat, institusi dan organisasi yang menyokong penerbitan sisipan berkenaan.

Baginda bertitah, sisipan khas sempena sambutan ulang tahun keputeraan Tuanku Raja Perlis bukan sekadar medium penyampaian maklumat, malah menjadi dokumentasi sejarah yang merakamkan peristiwa penting, pencapaian dan perkembangan negeri.

Penerbitan itu, titah baginda, boleh dijadikan rujukan pada masa hadapan supaya perjalanan pembangunan Perlis serta jasa dan sumbangan pelbagai pihak terus diketahui generasi akan datang.

Mengiringi baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Turut berangkat ialah puteri-puteri baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pengurusan), Dr. Noriman Rojulai dan Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Datuk Mohd Imran Mohamad Salim.

Antara penaja sisipan khas tahun ini ialah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, MRCB, Atlan Holdings Berhad, Dhaya Maju Infrastructure Sdn. Bhd., Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mutiara Perlis Sdn. Bhd., Syarikat Air Perlis Sdn. Bhd. dan Shorubber (Malaysia) Sdn. Bhd.

Turut menyokong penerbitan itu ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Sinar Jernih Sdn. Bhd., KPJ Perlis, C-Mart 3 Sdn. Bhd., Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis Kampus Arau, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Sadariffa Enterprise dan Mercu Media Advertising.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyampaikan cenderamata kepada penaja sebagai penghargaan atas sokongan dan kerjasama mereka.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content