Tiga kerabat diraja sertai Sidang Komander Askar Wataniah, perkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara

Tiga kerabat diraja sertai Sidang Komander Askar Wataniah, perkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Keberangkatan tiga kerabat diraja yang juga Komander Rejimen Askar Wataniah menyerikan Mesyuarat Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri 40/2026 di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, di sini, baru-baru ini.

Mesyuarat yang menghimpunkan 33 ahli sidang itu menjadi platform penting bagi membincangkan hala tuju, menyelaras pembangunan serta memperkukuh kesiapsiagaan Askar Wataniah sebagai komponen penting dalam sistem pertahanan negara.

Menurut perkongsian Facebook rasmi Askar Wataniah, mesyuarat berkenaan dipengerusikan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad, dengan dibantu Asisten Ketua Staf Pasukan Simpanan, Mejar Jeneral Datuk Mohammad Razeif Che Ahmad selaku Naib Pengerusi.

Ahli sidang terdiri daripada Komander Rejimen Siri 500 Askar Wataniah serta wakil formasi, bahagian dan cawangan Markas Tentera Darat.

Berkenan berangkat menghadiri mesyuarat itu ialah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah.

Turut berangkat ialah Raja Muda Kedah, Brigedier Jeneral Tuanku Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin selaku Komander Rejimen 513 Askar Wataniah dan Tunku Besar Seri Menanti, Brigedier Jeneral Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz selaku Komander Rejimen 508 Askar Wataniah.

Dalam ucapan aluannya, Mohamad Suria menzahirkan penghargaan atas keberangkatan ketiga-tiga kerabat diraja berkenaan yang disifatkan mencerminkan sokongan terhadap pembangunan serta kesiapsiagaan Askar Wataniah.

Mesyuarat itu turut memperlihatkan komitmen kepimpinan Tentera Darat dalam memastikan Askar Wataniah terus diperkasakan sebagai pasukan simpanan yang berkeupayaan menyokong keperluan pertahanan dan keselamatan negara.

Sumber: Facebook Rasmi Askar Wataniah

Foto: Istana Arau

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content