ARAU, 31 Okt (Suara Merdeka) – Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan mencuba sendiri penyediaan hidangan istimewa berasaskan tumbuhan bersama cef terkenal, Chef Kalidevan Murugaya atau Chef Dave, di Istana Arau baru-baru ini.
Hidangan dikenali sebagai Mutton Masala Plant Based itu menggunakan cendawan shiitake sebagai bahan utama yang diolah bersama pelbagai rempah-ratus bagi menghasilkan cita rasa masakan tradisional tanpa menggunakan daging.
Program yang berlangsung di pekarangan Istana Arau itu merupakan sebahagian daripada penggambaran rancangan masakan khas sempena sambutan Deepavali akan datang.
Pada pertemuan berkenaan, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah bukan sahaja berkenan menyaksikan demonstrasi masakan, malah turut mencuba sendiri beberapa proses penyediaan hidangan sebelum menikmati santapan yang disediakan Chef Dave. SalasilahDiraja
Pendekatan masakan berasaskan tumbuhan itu memperlihatkan bagaimana bahan alternatif seperti cendawan shiitake boleh dimanfaatkan bagi menghasilkan hidangan yang diinspirasikan daripada masakan tradisional masyarakat India.
Ia sekali gus mengetengahkan kreativiti seni kulinari dalam memenuhi kepelbagaian cita rasa dan pilihan pemakanan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Chef Dave yang dikenali menerusi kepakarannya menghasilkan hidangan kreatif turut menggunakan kesempatan itu untuk memperkenalkan keunikan rempah-ratus serta teknik penyediaan masakan berasaskan tumbuhan.
Penggambaran khas sempena Deepavali berkenaan juga menjadi platform memperkenalkan kepelbagaian warisan makanan Malaysia, selain memperlihatkan bagaimana inovasi kulinari mampu merapatkan hubungan antara budaya.
Pada akhir program, Chef Dave turut diperkenankan menghadap Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Galeri Diraja Arau.