Raja Puan Muda Perlis berkenan rasmi pameran ‘Wira Yang Tidak Didendang’

Raja Puan Muda Perlis berkenan rasmi pameran ‘Wira Yang Tidak Didendang’

KANGAR, 11 Nov – Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat merasmikan Pameran Apresiasi Seni Visual “Wira Yang Tidak Didendang” Tingkatan Enam Semester 3 Tahun 2026 Peringkat Negeri Perlis di Kangar Jaya Mall, di sini.

Pameran yang mengetengahkan 66 karya seni pelajar daripada lima sekolah itu memberi penghargaan kepada golongan yang sering terlepas daripada perhatian masyarakat, namun banyak berjasa dalam kehidupan seharian dan pembangunan komuniti.

Antara golongan yang diangkat menerusi karya seni berkenaan ialah petugas barisan hadapan, pekerja pembersihan, penjaja kecil, petani, pesawah serta ibu bapa yang menjadi tunjang pembentukan keluarga dan generasi masa hadapan.

Turut berangkat mengiringi Baginda ialah dua anakanda puteri, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Keberangkatan tiba Baginda disambut Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Haji Ishak Awang.

Pameran bertemakan “Wira Yang Tidak Didendang” itu merupakan kemuncak pentaksiran kerja kursus Kertas 3 mata pelajaran Seni Visual berdasarkan sukatan pelajaran Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). FilemMalaysia

Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis serta gabungan pusat Tingkatan Enam di seluruh negeri.

Sebanyak lima sekolah mengambil bahagian, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi, SMK Syed Sirajuddin, SMK Tengku Suleiman, SMK Derma dan SMK Putra.

Pada majlis itu, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut menyempurnakan simbolik perasmian sebelum berkenan melawat dan meneliti 66 karya seni yang dihasilkan pelajar terbabit.

Karya yang dipamerkan menggunakan pelbagai medium konvensional dan alternatif, sekali gus memperlihatkan kreativiti serta kebolehan pelajar meneroka pendekatan seni visual kontemporari.

Selain mengasah bakat seni, pameran itu turut menjadi platform untuk menyampaikan mesej kemanusiaan, empati dan patriotisme, khususnya dalam menghargai pengorbanan golongan yang menjadi tulang belakang kehidupan masyarakat.

Penganjurannya juga membuka ruang kepada orang ramai untuk menghayati nilai kemanusiaan serta menyedari bahawa sumbangan individu biasa, termasuk pesawah dan pekerja pembersihan, mempunyai peranan besar dalam membentuk kesejahteraan dan kekuatan sesebuah komuniti.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content