KANGAR, 9 Nov – Sikap saling menghormati dan kesediaan menerima kepelbagaian budaya, agama serta latar belakang masyarakat merupakan benteng sebenar dalam memastikan kestabilan dan keharmonian negara terus terpelihara.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sambutan Deepavali menjadi antara detik terbaik untuk seluruh rakyat menghargai bakat, budaya dan sumbangan masyarakat India dalam pembangunan sosioekonomi negeri serta negara.
Baginda bertitah, keharmonian masyarakat majmuk perlu terus diperkukuh melalui hubungan yang erat tanpa jurang pemisah antara kaum.
“Ketiadaan jurang dan kesediaan untuk saling menghormati adalah benteng sebenar kestabilan kita.
“Semoga perayaan tahun ini juga membahagiakan seluruh ahli keluarga anda, dikurniakan rezeki yang berkat, serta mempertautkan kasih sayang yang lebih utuh sesama jiran tetangga, rakan sekerja atau sekelas,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan berangkat bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke majlis rumah terbuka Deepavali di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Kangar, Padang Katong, di sini.
Majlis itu dihoskan Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan KPJ Perlis Specialist Hospital, Mejar (Kehormat) Datuk Dr Hari Ram Ramayya bersama isterinya, Datin Bavanie.
Turut berangkat ialah anakanda puteri kedua baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Dalam titah sempena sambutan itu, Raja Muda Perlis turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh masyarakat Hindu di Perlis serta mereka yang meraikannya di seluruh negara.
Baginda menzahirkan penghargaan terhadap peranan masyarakat India yang bersama-sama menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.
Sementara itu, pada malam sebelumnya, Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis turut berkenan menyantuni seorang pesara kerajaan yang juga bekas pemandu Istana, Vizua Nazan, di kediamannya di Jejawi dekat sini.
– SUARA MERDEKA