KANGAR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus memperluas jaringan perniagaannya menerusi pembukaan cawangan pertama jenama KOPIESATU di Perlis, yang terletak di Taman Sena Indah, di sini.
Majlis perasmian outlet berkenaan disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, pada Selasa.
Anda mungkin berminat pada artikel ini
Jualan Agro MADANI rekod penjimatan isi rumah RM25.36 juta
Pemodenan pertanian perlu dipertingkat, hadapi cabaran keterjaminan makanan – Mohamad
PISC 2027 berlangsung 30, 31 Januari di Kangar
Pengerusi FAMA, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus berkata, pembukaan cawangan itu merupakan sebahagian daripada usaha agensi berkenaan memperkukuh jenama KOPIESATU, selain membuka lebih banyak peluang keusahawanan dalam industri kopi tempatan.
Advertisement
Menurut beliau, KOPIESATU kini mempunyai 34 cawangan di seluruh negara dengan nilai jualan keseluruhan mencecah RM7.88 juta.
Katanya, cawangan Taman Sena Indah yang mula beroperasi pada 18 September lalu turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila merekodkan jualan RM86,100.40 sehingga kini.
Advertisement
Pencapaian itu dalam tempoh kurang dua bulan mencerminkan potensi pasaran yang positif sekali gus mendorong FAMA merancang peluasan jenama berkenaan di negeri ini.
Sehubungan itu, FAMA Negeri Perlis turut merancang pembukaan sebuah lagi outlet KOPIESATU di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.
Selain sebagai pusat jualan kopi, FAMA berhasrat menjadikan KOPIESATU di Perlis sebagai model pembangunan keusahawanan, pusat latihan industri kopi serta platform untuk menyediakan lebih banyak peluang ekonomi kepada golongan belia tempatan.