KANGAR, 12 Nov (Bernama) — Kesejahteraan rakyat perlu menjadi keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan Perlis bagi memastikan Pelan Pembangunan Peneraju Perlis Progresif 2030 mencapai matlamatnya, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah perancangan berkenaan perlu mengambil kira keperluan masyarakat dan kemudahan asas, termasuk aspek keselamatan, keselesaan, kesihatan, pendidikan, perumahan serta persekitaran yang cekap dan kondusif.
“Dalam menghadapi perubahan demografi dan pertambahan penduduk, saya berharap agar pembangunan Perlis dilaksanakan secara sistematik dan seimbang, dengan mengambil kira kepentingan generasi masa kini tanpa mengabaikan kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan generasi akan datang,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Pelan Pembangunan Peneraju Perlis Progresif 2030 dan sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2026 peringkat negeri di sini hari ini.
Baginda turut bertitah pembangunan infrastruktur fizikal dan digital perlu terus diperkukuh bagi memudahkan pergerakan rakyat, melancarkan aktiviti ekonomi serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
“Keterhubungan yang baik merupakan asas penting dalam memacu kemajuan sesebuah negeri. Saya berharap agar Perlis terus memperluas jaringan perhubungan dan meningkatkan akses kepada kemudahan teknologi supaya seluruh rakyat termasuk masyarakat di kawasan luar bandar dapat menikmati kemudahan dan peluang yang lebih baik,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan harapan agar Pelan Pembangunan Peneraju Perlis Progresif 2030 menjadi panduan bersama dalam memperkukuh budaya kerja yang cekap, bersepadu dan berorientasikan penyampaian.
“Penghasilan pelan ini merupakan langkah penting dalam memastikan pembangunan negeri kita tercinta ini dilaksanakan secara lebih berhikmah, strategik, menyeluruh dan berfokus kepada hasil,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan setiap jabatan dan agensi supaya melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh ketelusan dan integriti bagi memastikan segala perancangan diterjemahkan kepada tindakan serta hasil yang memberi manfaat kepada negeri dan rakyat.
Sementara itu, Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata pelan pembangunan berkenaan menggariskan sembilan teras utama sebagai landasan pembangunan negeri hingga 2030, merangkumi ekonomi berdaya saing, kesejahteraan rakyat, modal insan, tadbir urus cekap, kelestarian, infrastruktur, digital dan inovasi, negeri berkebajikan serta persekitaran mesra pelabur dan perniagaan.
Abu Bakar berkata kesemua teras berkenaan perlu digerakkan secara bersepadu bagi memastikan pembangunan negeri bukan sahaja merancakkan ekonomi, malah mewujudkan peluang pekerjaan, memperkukuh infrastruktur serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Pelan ini bukan sekadar dokumen dasar untuk dipamerkan, sebaliknya suatu komitmen pentadbiran yang mesti diterjemahkan kepada keputusan, program dan hasil yang dapat dirasai oleh rakyat,” katanya.
Pada majlis itu, Majlis Perbandaran Perlis (MPPs) diwakili Yang Dipertuanya Affendi Rajini Kanth menerima pengiktirafan status Bandar Mampan 2025 menerusi Program Pengukuran Bandar Mampan Malaysia (MURNInets) bersempena dengan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025.
— BERNAMA