KANGAR: Sumbangan enam dekad dalam dunia penulisan diiktiraf apabila bekas Pengarang Sastera dan Budaya Berita Harian (BH), Abd Rahim Abdullah, dinobatkan penerima Anugerah Sasterawan Negeri Perlis 2026.
Penganugerahan anjuran Kerajaan Negeri Perlis dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu mengiktiraf ketokohan anak kelahiran Kampung Bohor Inai, di sini yang mula berkarya sejak 1964.
Abd Rahim, 78, yang berkhidmat di BH antara Februari 1994 hingga April 1998, terbukti subur dengan deretan karya unggul pelbagai genre yang memenangi anugerah peringkat kebangsaan dan serantau.
Ketua Panel Penilai, Dr Mohd Hanafi Ibrahim berkata, pemilihan Abd Rahim menepati piawaian tertinggi panel berikutan konsistensinya berkarya secara berterusan serta pencapaian puncak di persada sastera negara dan Nusantara.
“Beliau mula berkarya sejak 1960-an dan berterusan menabur bakti sehingga tahun 2000-an sebelum keuzuran. Malah, sebelum uzur, beliau sempat menyiapkan karya biografi yang merangkul Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) yang dianggap pencapaian tertinggi di peringkat serantau.
“Dalam tempoh enam dekad pembabitannya, kelebihan beliau terletak pada kemenangan pelbagai anugerah utama peringkat kebangsaan seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Sayembara Cerpen ESSO-GAPENA. Karya-karyanya adalah sebahagian sejarah sastera kebangsaan yang memberi sumbangan amat besar,” katanya ketika ditemui selepas majlis, di sini hari ini.
Sepanjang kerjayanya, Abd Rahim menghasilkan deretan naskhah hebat antaranya kumpulan puisi Catatan Orang Berdua (1980), kumpulan cerpen Potret di Atas Piano (1983) serta memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/1997 menerusi puisi Cinta Nusantara dan esei Melihat Nilai Melayu Melalui Dunia Mungkin Noordin Hassan.
Karya puisinya turut diterjemahkan ke bahasa Inggeris dan dilagukan dalam beberapa album tempatan.
Sementara itu, anaknya, Ezlin Ilyana Abd Rahim, 49, berkata bapanya sering menyuarakan harapan agar pengiktirafan dan hasil karyanya mampu menjadi suntikan semangat kepada generasi baharu untuk terus menghidupkan dunia sastera.
“Bapa pernah berpesan, sekurang-kurangnya apa yang beliau hasilkan selama ini dapat memberi iktibar dan galakan kepada orang muda. Beliau menyedari bidang sastera kurang meluas dalam kalangan generasi kini yang lebih cenderung kepada media sosial dan kandungan pantas yang tidak memerlukan pembacaan kritis.
“Harapan beliau sentiasa mahu melihat generasi masa kini memiliki pemikiran yang lebih kritis dan mendalam, terutama dalam menterjemahkannya menerusi bidang penulisan sastera,” katanya.
Selain Anugerah Sasterawan Negeri Perlis 2026, majlis turut menyampaikan Anugerah Persuratan Negeri Perlis 2026, Anugerah Citra Negeri Perlis 2026, Anugerah Sasterawan Sepanjang Hayat 2026 (Anugerah Khas Juri) dan Hadiah Khas Penulis Muda Negeri Perlis 2026.
Penyampaian anugerah disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan turut dihadiri Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah.