KANGAR, 16 Nov – Kejohanan Olahraga KOCH Perlis Open 2026 anjuran Kelab Olahraga Cahaya Harapan (CHA) menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu serta memperkasakan pembangunan sukan olahraga dalam kalangan generasi muda.
Anakanda kedua Raja Muda Perlis, Hajah Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan kejohanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.
Turut hadir Presiden CHA, Muhamad Hafizi Othman.
Kejohanan berkenaan menyediakan medan persaingan kompetitif kepada atlet pelapis dari Perlis dan seluruh negara untuk menguji kemampuan, meningkatkan prestasi serta menimba pengalaman pertandingan di peringkat lebih tinggi.
Sebagai penutup kalendar sukan CHA bagi tahun 2026, kejohanan itu berjaya menghimpunkan atlet daripada pelbagai peringkat umur, sekali gus memperlihatkan potensi pembangunan sukan olahraga di peringkat akar umbi.
Sebanyak tujuh kategori dipertandingkan, iaitu Bawah 8 Tahun (U8), Bawah 10 Tahun (U10), Bawah 12 Tahun (U12), Bawah 15 Tahun (U15), Bawah 18 Tahun (U18), Terbuka dan Veteran.
Kepelbagaian kategori itu mencerminkan komitmen berterusan penganjur dalam memperluas penyertaan masyarakat dalam sukan olahraga, selain memastikan pembangunan bakat dilaksanakan secara berperingkat dan berkesinambungan.
Kejohanan tersebut turut mendapat sambutan menggalakkan daripada sekolah, kelab olahraga dan atlet persendirian, manakala semua acara balapan dan padang berlangsung lancar mengikut jadual dengan pengendalian pegawai teknikal bertauliah.
Penganjuran kejohanan seumpama itu diharap menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan lebih ramai atlet berpotensi yang mampu mengharumkan nama Perlis dan negara di persada antarabangsa.