PAUH PUTRA, 20 Nov – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memperluas akses pendidikan tinggi menerusi pelancaran inisiatif Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) yang menawarkan tiga program pengajian peringkat sarjana secara lebih fleksibel kepada masyarakat.
Inisiatif itu membuka peluang kepada golongan profesional dan individu yang mempunyai komitmen kerjaya serta keluarga untuk meningkatkan kelayakan akademik tanpa terikat sepenuhnya dengan kaedah pembelajaran konvensional.
Pelancaran itu disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Canselor UniMAP di Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, baru-baru ini.
Baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, merangkap Pro-Canselor UniMAP. CariKolej
Berangkat sama ialah Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Pro-Canselor UniMAP.
Inisiatif yang diselaraskan Pusat Pengajian Siswazah UniMAP itu menawarkan tiga program pengajian, iaitu:
– Sarjana Media Digital;
– Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Teknologi); dan
– Sarjana Sains (Keselamatan Proses, Kesihatan dan Persekitaran).
– Dua program pertama ditawarkan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK),
manakala program ketiga ditawarkan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK).
Pelaksanaan ODL itu mencerminkan komitmen UniMAP dalam menyediakan ekosistem pendidikan yang lebih inklusif, fleksibel dan responsif terhadap keperluan semasa.
Ia sekali gus menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat serta pembangunan modal insan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri dan pasaran pekerjaan.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UniMAP, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Dr Aminuddin Hassim dan Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Ts Dr Zaliman Sauli.