Graduan profesional UniMAP XPLORE meningkat 112 peratus

Graduan profesional UniMAP XPLORE meningkat 112 peratus

PAUH PUTRA, 18 Nov – Jumlah graduan program profesional UniMAP XPLORE mencatatkan peningkatan 112.5 peratus kepada 665 orang tahun ini berbanding 313 orang tahun lalu, sekali gus mencerminkan perkembangan positif dalam pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kejayaan graduan menamatkan pengajian dalam bidang profesional membuktikan komitmen tinggi mereka terhadap peningkatan ilmu dan kemahiran, meskipun perlu mengimbangi tuntutan kerjaya, keluarga serta pengajian.

Baginda bertitah, pencapaian tersebut wajar dijadikan suri teladan kepada seluruh warga universiti dalam merealisasikan aspirasi pembelajaran sepanjang hayat.

Menurut baginda, kejayaan memperoleh diploma dan kelayakan profesional membuktikan setiap bidang pendidikan mempunyai peranan penting dalam memenuhi keperluan pembangunan negara, selain membuka peluang kepada individu meningkatkan keupayaan dan membina masa depan lebih baik.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengingatkan graduan supaya menghargai setiap peluang dan tanggungjawab yang diberikan kerana setiap pekerjaan halal dan bermanfaat mempunyai nilai tersendiri dalam menyumbang kepada kemajuan masyarakat serta negara.

Sehubungan itu, baginda menyeru graduan supaya melaksanakan setiap amanah dengan ikhlas, bersungguh-sungguh dan penuh tanggungjawab tanpa mengira bidang atau jawatan yang diceburi.

Berbekalkan kemahiran praktikal dan kepakaran yang diperoleh, graduan turut diseru memanfaatkan kelayakan masing-masing untuk meningkatkan taraf kehidupan, membantu keluarga serta menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

Baginda yang juga Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertitah demikian menerusi rakaman video yang ditayangkan sempena Sidang Ketujuh Istiadat Konvokesyen Ke-21 UniMAP di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra.

Pada istiadat berkenaan, anakanda puteri sulung baginda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga Pro Canselor UniMAP, berkenan berangkat menyempurnakan majlis konvokesyen sesi petang itu.

Keberangkatan tiba baginda disambut Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli serta barisan pengurusan tertinggi universiti.

Sidang ketujuh itu menyaksikan seramai 1,084 graduan menerima skrol masing-masing, terdiri daripada 665 graduan program profesional UniMAP XPLORE dan 419 graduan diploma daripada lima fakulti.

Lima fakulti berkenaan ialah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik (FKTE), Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik (FKTEN), Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK), Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal (FKTM) serta Fakulti Komputeran Cerdas (FKC).

UniMAP XPLORE, dahulunya dikenali sebagai Pusat Pendidikan Berterusan dan Pembangunan Profesional (PDCE), berperanan memperluas akses pendidikan profesional serta menyediakan peluang pembelajaran berterusan kepada masyarakat.

Turut berangkat menyaksikan istiadat berkenaan ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Hajah Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content