FESTKON 21 UniMAP meriah, tarik ribuan pengunjung

FESTKON 21 UniMAP meriah, tarik ribuan pengunjung

PAUH PUTRA, 18 Nov – Festival Konvokesyen (FESTKON) 21 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang berlangsung selama tujuh hari berjaya menarik ribuan pengunjung, sekali gus memperkukuh hubungan universiti dengan masyarakat serta merancakkan kegiatan ekonomi setempat.

Festival yang berlangsung di Tapak FESTKON, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra itu dianjurkan bersempena Istiadat Konvokesyen 21 UniMAP dan sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan universiti berkenaan.

Mengangkat tema “Legacy & Vintage”, festival itu mencerminkan perjalanan dan legasi kecemerlangan UniMAP sepanjang suku abad penubuhannya.

Majlis penutupan festival malam tadi disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Tuanku Canselor UniMAP bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, selaku Pro Canselor UniMAP.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli serta barisan pengurusan tertinggi universiti.

Turut berangkat ialah anakanda puteri baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga Pro Canselor UniMAP, dan Hajah Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Penganjuran FESTKON 21 bukan sekadar meraikan kejayaan graduan, malah menjadi platform memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti menerusi pelbagai aktiviti keilmuan, keusahawanan, kebudayaan, kerohanian dan hiburan.

Antara tarikan utama ialah Mega Food Festival 25.0 dan Jualan Keusahawanan yang menghimpunkan puluhan gerai makanan, minuman serta produk tempatan, sekali gus menyediakan peluang kepada usahawan pelajar dan peniaga kecil menjana pendapatan.

Festival itu turut diserikan dengan persembahan artis tempatan antaranya Kristal X, Ainan Tasneem, Sofazr, Drama Band, Iman Troye, Inteam dan Kartika, selain program Pesta Citra Budaya dan Malam Galau.

Pengisian berbentuk ilmu dan pembangunan diri pula merangkumi sesi perkongsian bersama alumni menerusi Talk Alumni Legacy, forum kerohanian anjuran Pusat Islam UniMAP serta taklimat literasi kewangan khusus untuk golongan belia dan graduan.

Pelbagai pertandingan turut dianjurkan termasuk kejohanan e-sukan Mobile Legends dan e-Football, Battle of the Band, Netball Sarong Fiesta serta cabaran Escape Room.

Kejayaan penganjuran FESTKON 21 mencerminkan komitmen UniMAP untuk terus memainkan peranan melangkaui kecemerlangan akademik, khususnya dalam memperkasa komuniti, membudayakan keusahawanan dan merancakkan pembangunan sosioekonomi masyarakat di Perlis.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content