KANGAR, 21 Februari – Seramai 104 pelajar sekolah rendah dan menengah dari seluruh Perlis menyertai Bengkel Matematik dan Program Cilik AI yang diadakan bagi memperkasa pencapaian akademik serta pendedahan teknologi dalam kalangan pelajar asnaf.
Kesemua peserta merupakan penerima manfaat Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih MADANI (PPITM).
Pengerusi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin, Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin berkata, pelaksanaan bengkel tersebut bertujuan meningkatkan pengetahuan serta membangunkan potensi sebenar setiap pelajar, khususnya dalam mata pelajaran Matematik sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut beliau, Program Cilik AI yang disertai 74 pelajar pula memberi pendedahan awal mengenai asas robotik dan pengaturcaraan, selain membantu pelajar memahami perkembangan teknologi terkini yang berpotensi untuk diterokai pada masa hadapan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bengkel Matematik dan Program Cilik AI di sini.
Program berkenaan merupakan anjuran bersama Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Universiti Malaysia Perlis serta Universiti Utara Malaysia.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia