ARAU, 30 Julai – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Perlis Kali Ke-3 bagi Tahun 2026 sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-83 Baginda di Balairong Seri, Istana Arau, hari ini.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta anakanda puteri, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Pada istiadat berkenaan, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Perlis kepada seramai 125 penerima sebagai pengiktirafan terhadap jasa, pengorbanan dan sumbangan cemerlang mereka dalam memacu pembangunan, kemajuan serta kesejahteraan negeri.
Daripada jumlah itu, tujuh penerima dikurniakan Darjah Seri Sirajuddin Perlis (SSP), lapan menerima Darjah Ahli Mahkota Perlis (AMP), 32 menerima Pingat Mahkota Perlis (PMP), 28 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 43 menerima Pingat Jasa Baik (PJB) dan tujuh lagi menerima Pingat Perkhidmatan Lama (PPL).
Istiadat berkenaan merupakan penghargaan tertinggi Raja Perlis kepada individu yang telah menabur bakti dengan penuh dedikasi, integriti dan cemerlang dalam pelbagai bidang perkhidmatan serta kemasyarakatan.
Penganugerahan itu turut mencerminkan keprihatinan Baginda terhadap sumbangan berterusan para penerima dalam memperkukuh pembangunan negeri, memartabatkan institusi, memperkasa kesejahteraan rakyat serta menyemarakkan semangat taat setia kepada Raja dan Negeri Perlis.
Antara penerima daripada kalangan pengamal media ialah Penerbit Rancangan Jabatan Penyiaran Negeri Perlis, Izuani Abdul Wahab dan Sazali Ahmad yang masing-masing menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), manakala Ketua Biro Utusan Malaysia Cawangan Perlis, Muhamad Hafiz Ab. Mutalib menerima Pingat Jasa Baik (PJB).
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia