1,566 alumni UniSIRAJ bina jaringan global, berkembang ke 12 negara

1,566 alumni UniSIRAJ bina jaringan global, berkembang ke 12 negara

TASHKENT, 4 Okt — Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) kini mempunyai 1,566 alumni termasuk 88 alumni antarabangsa yang tersebar di 12 negara, sekali gus memperlihatkan perkembangan pengaruh institusi pendidikan tinggi itu melangkaui sempadan Malaysia.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniSIRAJ bertitah, daripada jumlah keseluruhan itu, 1,478 merupakan alumni tempatan manakala selebihnya alumni antarabangsa.

Menurut Baginda, perkembangan komuniti alumni bukan sekadar mencerminkan keupayaan universiti melahirkan graduan, malah menjadi aset strategik dalam memperkukuh jaringan profesional serta membuka ruang lebih luas bagi kerjasama akademik dan industri.

“Jaringan alumni juga berpotensi diperluas bagi meningkatkan sumbangan mereka kepada pembangunan universiti dan masyarakat, termasuk melalui perkongsian kepakaran, pengalaman serta jaringan profesional,” titah Baginda.

Alumni antarabangsa UniSIRAJ kini berada di Thailand, Indonesia, Nigeria, Tunisia, Myanmar, Mali, Ghana, Kemboja, Vietnam, Bangladesh, India dan Filipina.

Thailand merekodkan jumlah tertinggi dengan 49 alumni, diikuti Indonesia seramai 24 orang.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, kepelbagaian latar geografi itu membuktikan pengaruh UniSIRAJ yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) semakin berkembang, khususnya di rantau ASEAN dan dalam kalangan masyarakat dunia Islam.

“Keberadaan alumni dari pelbagai negara turut mencerminkan keupayaan UniSIRAJ membina ekosistem pendidikan yang inklusif, mempunyai daya tarikan antarabangsa serta relevan dengan keperluan masyarakat global,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan zakat Fi Sabilillah MAIPs di Masjid Minor, Kichik Xalqa Yo‘li, Tashkent.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Dalam majlis itu, sumbangan zakat Fi Sabilillah MAIPs diserahkan kepada Imam Masjid Minor, Rahmatulloh Domla Sayfuddinov bagi menyokong aktiviti dakwah, pendidikan dan kebajikan yang memberi manfaat kepada masjid serta komuniti setempat.

Masjid Minor atau lebih dikenali sebagai “Masjid Putih” dalam kalangan masyarakat tempatan merupakan antara mercu tanda keagamaan dan pelancongan terkenal di Tashkent.

Masjid yang siap dibina pada 2014 itu terletak di pesisir Terusan Ankhor dan terkenal dengan seni bina berasaskan marmar putih yang menggabungkan ciri Islam klasik Uzbekistan dengan kemudahan moden.

Sumbangan berkenaan turut mencerminkan komitmen MAIPs dalam memperluas manfaat zakat menerusi sokongan terhadap pembangunan pendidikan, dakwah dan kebajikan termasuk kepada institusi keagamaan di luar negara.

Foto: Istana Arau

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.