Semua 31 program UniSIRAJ diiktiraf, 83.9 peratus capai Akreditasi Penuh

Semua 31 program UniSIRAJ diiktiraf, 83.9 peratus capai Akreditasi Penuh

TASHKENT, 4 Okt — Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) terus memperkukuh kedudukannya dalam bidang akademik apabila kesemua 31 program pengajian yang ditawarkan kini mempunyai status akreditasi, dengan 26 daripadanya atau 83.9 peratus memperoleh Akreditasi Penuh (FA).

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, lima lagi program atau 16.1 peratus kini berada pada status Akreditasi Sementara (PA).

Menurut Baginda, pencapaian itu mencerminkan komitmen UniSIRAJ yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam memastikan setiap program akademiknya memenuhi standard serta keperluan jaminan kualiti ditetapkan.

UniSIRAJ kini menawarkan tiga program Doktor Falsafah, dua Sarjana, 16 Sarjana Muda, tujuh Diploma dan dua program Asasi.

Status akreditasi keseluruhan program itu juga menjadi indikator penting terhadap kematangan portfolio akademik UniSIRAJ serta keupayaannya merancang, melaksanakan dan mengurus program pengajian secara sistematik.

Pada masa sama, pencapaian tersebut memberi nilai tambah terhadap kredibiliti akademik universiti serta meningkatkan keyakinan bakal pelajar, ibu bapa, industri dan rakan strategik terhadap kualiti program yang ditawarkan.

UniSIRAJ akan terus memberi keutamaan kepada usaha mengekalkan Akreditasi Penuh bagi 26 program sedia ada, selain memperkukuh lima program berstatus Akreditasi Sementara ke arah memperoleh Akreditasi Penuh.

Usaha itu turut merangkumi penambahbaikan berterusan bagi memastikan program akademik kekal relevan dengan perkembangan semasa serta responsif terhadap keperluan industri dan pemegang taruh.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian selepas berkenan menyerahkan simbolik sumbangan Ibnu Sabil MAIPs kepada Kedutaan Besar Malaysia di Uzbekistan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Islam Karimov Tashkent.

Sumbangan simbolik itu diterima Duta Besar Malaysia ke Republik Uzbekistan, Rafedah Abdul Aziz.

Turut mengiringi Baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri kedua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Tuanku Raja Muda Perlis berada di Uzbekistan bagi merasmikan Seminar Warisan Nabawi Peringkat Antarabangsa (SWAN) Kali Ke-10, 2026 yang akan berlangsung pada 6 dan 7 Oktober di Imam Bukhari International Scientific Research Center, Samarkand.

Seminar bertemakan “Warisan Nabawi dalam Menerajui Era Ketidakstabilan Global” itu dianjurkan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama UniSIRAJ.

Foto: Istana Arau

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.