KANGAR, 12 Ogos – Seramai 223 pelajar dalam kalangan asnaf di Perlis menyertai Program Pemerkasaan Asnaf melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang teknologi pembuatan sejak 2019 hingga kini.
Program yang dilaksanakan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs Sdn Bhd (ATAM) di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Kulim Hi-Tech Park itu, menerima peruntukan berjumlah RM2.91 juta daripada MAIPs.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, setiap pelajar terpilih menerima tajaan RM13,064 seorang sepanjang pengajian dan latihan selama tiga bulan di Kulim Advanced Technologies Sdn Bhd.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja menyediakan latihan kemahiran dalam bidang TVET, malah membuka peluang kepada golongan asnaf untuk meningkatkan taraf ekonomi diri dan keluarga.
Katanya, peserta berpeluang mendapat penempatan pekerjaan di 144 syarikat yang bekerjasama dengan Kulim Hi-Tech Park Skills Centre.
Beliau berkata demikian pada taklimat dan pelepasan 43 pelatih baharu dalam kalangan asnaf ke Kulim Hi-Tech Park, di perkarangan Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, di sini.
Menurutnya, pelaksanaan program menerusi ATAM mencerminkan komitmen berterusan MAIPs dalam memperkukuh sosioekonomi golongan asnaf.
Malah, katanya, usaha itu diharap dapat melahirkan golongan asnaf yang mampu menjadi contoh dan teladan kepada keluarga serta menyumbang kembali kepada pembangunan komuniti asnaf, khususnya di Perlis.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia