KANGAR, 24 Disember – Adat Istiadat Melayu Perlis yang berteraskan syarikat Islam terus memainkan peranan penting sebagai penghubung antara rakyat dan institusi DiRaja, sekali gus memperkukuh perpaduan masyarakat serta intergriti pemerintahan negeri.
Menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), adat yang selari dengan ajaran Islam bukan sekadar bersifat simbolik, sebaliknya berfungsi sebagai wadah menyatukan rakyat, memelihara ketertiban sosial dan memperkukuh peranan Raja dalam sistem Raja Berperlembagaan.
Kenyataan itu memetik titah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang menegaskan bahawa adat yang berpaksikan Islam akan memperkasakan kedudukan Raja bukan hanya sebagai lambang kedaulatan negeri, malah sebagai pemelihara serta pelindung agama dan budaya.
Baginda turut bertitah bahawa struktur pemerintahan yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan menyediakan kerangka perundangan dan pentadbiran yang menyokong kesinambungan peranan institusi Raja dalam konteks moden.
Sehubungan itu, Baginda menekankan keperluan penyelarasan yang kemas antara adat, syariat Islam dan sistem Raja Berperlembagaan melalui Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu MAIPs bagi memastikan kemuliaan institusi Raja terus terpelihara dan dihormati.