Agrobank buka cawangan baharu di Kuala Perlis

Agrobank buka cawangan baharu di Kuala Perlis

30 APRIL 2026

Agrobank terus memperluas akses perkhidmatan kewangannya kepada komuniti setempat menerusi pembukaan cawangan baharunya di Kuala Perlis yang merupakan rangkaian ke-28 bank itu di Wilayah Utara.

Agrobank dalam satu kenyataan memaklumkan pembukaan cawangan baharu itu juga mencerminkan aspirasi bank tersebut dalam memperkukuh agenda keterangkuman kewangan menerusi penyediaan akses perbankan yang lebih meluas kepada komuniti setempat.

“Ini selaras dengan peranan Agrobank sebagai Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) yang menyokong pembangunan sosioekonomi negara,” maklum kenyataan itu.

CAWANGAN ITU DISEMPURNAKAN

Majlis perasmian cawangan itu disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semalam.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda puteri kedua Baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Agrobank berkata cawangan itu juga akan menawarkan perkhidmatan Ar-Rahnu Agrobank sebagai projek perintis pertama di Kuala Perlis bagi menyediakan akses tunai segera kepada komuniti setempat termasuk usahawan kecil, nelayan dan pelanggan individu yang memerlukan penyelesaian kewangan fleksibel dan mudah diakses.

PERKHIDMATA TRANSAKSI TUNAI

“Cawangan ini dilengkapi dengan kemudahan ATM serta perkhidmatan transaksi tunai seperti deposit dan pengeluaran wang bagi membolehkan pelanggan menikmati akses perbankan 24 jam secara lebih mudah dan pantas selari dengan peningkatan penggunaan transaksi layan diri,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Raja Muda Perlis menerusi titah ucapannya menyeru semua pihak agar menyokong inisiatif tersebut dengan memanfaatkan sepenuhnya segala kemudahan disediakan khususnya bagi pengusaha dalam bidang pertanian, perikanan serta industri asas tani yang menjadi tunjang ekonomi setempat.

“Kewujudan cawangan ini bukan sekadar penambahan fizikal, tetapi merupakan pemacu transformasi yang mampu meningkatkan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.

SEBAGAI PROJEK PERINTIS

“Ambillah peluang untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan, termasuk Ar-Rahnu Agrobank yang diperkenalkan sebagai projek perintis di Kuala Perlis,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah kemudahan itu menyediakan akses tunai secara pantas, mudah serta patuh syariah sekali gus menyokong kelancaran urusan harian dan memperkukuh kestabilan ekonomi komuniti.

“Pendekatan itu mencerminkan usaha bersepadu dalam membentuk masyarakat yang celik kewangan, progresif serta berdaya tahan dalam menghadapi arus perubahan semasa.

“Inisiatif yang digerakkan ini diyakini mampu memberikan impak berpanjangan serta mempertingkat taraf hidup komuniti di Kuala Perlis dan seluruh Negeri Perlis,” titah Baginda.

PEMBUKAAN CAWANGAN BAHARU

Dalam pada itu, Tengku Ahmad Badli Shah berkata pembukaan cawangan baharu tersebut selaras dengan usaha Agrobank untuk terus memperkukuh kehadirannya di seluruh negara di samping meningkatkan pengalaman pelanggan melalui penyediaan perkhidmatan yang lebih cekap dan relevan dengan keperluan semasa.

“Agrobank komited memastikan komuniti setempat terus mendapat akses kepada kemudahan kewangan yang mudah diakses dan menyeluruh.

“Melalui pembukaan cawangan ini, kami berharap dapat menyokong aktiviti ekonomi komuniti setempat serta membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat menerusi penyediaan perkhidmatan kewangan yang lebih dekat dengan pelanggan,” katanya. – SUMBER : BERNAMA

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.