PADANG BESAR 7 April – Kitab suci Al-Quran merupakan pedoman hidup yang lengkap buat umat manusia serta menjadi panduan utama dalam menempuh kehidupan seharian.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setiap ayat dan surah yang dibaca bukan sahaja menenangkan hati dan melapangkan dada, malah mengandungi doa, zikir serta peringatan tentang kebesaran dan kekuasaan Allah SWT.
“Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk kepada seluruh umat manusia agar sentiasa berada di jalan yang benar.
“Selain memperkukuhkan hubungan manusia dengan Pencipta, amalan bertadarus turut berperanan mengeratkan silaturahim sesama umat Islam,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyerahan Agihan Zakat anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Al-Azim, Titi Tinggi, di sini, baru-baru ini.
Menurut baginda, melalui tadarus secara berkumpulan, para peserta bukan sahaja dapat menelaah Al-Quran, malah berpeluang memperbaiki serta memperelokkan bacaan masing-masing.
Berangkat sama, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Dalam majlis tersebut, MAIPs menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM105,000 kepada 150 penerima dalam kalangan asnaf, melibatkan 75 anak kariah Titi Tinggi dan 75 anak kariah Bukit Chabang.
Setiap penerima menerima bantuan sebanyak RM700 yang disampaikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra bersama Syed Sirajuddin Areeb Putra.
Selain itu, turut diserahkan cek cura simbolik sumbangan berjumlah RM129,600 kepada Maahad Tahfiz Al-Hikmah, Pauh yang diterima oleh Mudirnya, Ustaz Rohim Kamis.
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian usaha berterusan MAIPs dalam menyantuni golongan asnaf secara langsung melalui agihan bantuan secara berjadual di masjid-masjid seluruh negeri.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia