KUALA LUMPUR, 27 Ogos 2026 – Atlet muda kelahiran Perlis, Nur Raisya Adelya Sofea Suwardi mencipta kebanggaan apabila membawa nama Malaysia dan negeri itu pada World Children’s Baseball Fair (WCBF) 2026 di Narita, Jepun, baru-baru ini.
Penyertaan Nur Raisya dalam program antarabangsa yang berlangsung dari 29 Julai hingga 7 Ogos lalu merupakan antara perkembangan dipersembahkan Persekutuan Besbol Malaysia (BFM) kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda yang juga Penaung BFM berkenan menerima taklimat daripada delegasi persekutuan berkenaan yang diketuai Pengerusinya, Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin bersama Presiden BFM, Sazali Husain di ibu negara.
Pada WCBF 2026, kontinjen Malaysia turut mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih tempat pertama bagi Effort Award (Berpasukan), manakala Muhammad Affan Syafi Mohd Aznan menerima Effort Award (Individu). Panduanperjalanan Malaysia
Dalam taklimat itu, BFM turut mempersembahkan perkembangan terkini usaha memperkukuh pembangunan sukan besbol di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, merangkumi pembangunan infrastruktur, program pencarian serta pembangunan bakat dan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.
Antara perkembangan utama ialah pembangunan Padang Besbol Kebangsaan di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang kini memasuki fasa akhir penyempurnaan.
Kemudahan itu dijangka menjadi antara platform penting bagi memperkukuh program pembangunan atlet selain menyediakan venue untuk penganjuran aktiviti dan kejohanan besbol di peringkat kebangsaan.
BFM turut mempersembahkan perancangan menyerahkan peralatan besbol bagi membantu perkembangan sukan itu di Perlis, khususnya untuk memperluaskan penyertaan pada peringkat akar umbi.
Usaha berkenaan dijangka membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda di Perlis mengenali sukan besbol, mengembangkan bakat serta menyediakan laluan kepada atlet berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Pertemuan itu turut mencerminkan komitmen memperluaskan kerjasama antara BFM dan pihak berkepentingan dalam membangunkan sukan besbol secara lebih tersusun dan mampan, termasuk melahirkan generasi baharu atlet yang mampu mengharumkan nama Perlis dan Malaysia. Panduanperjalanan Malaysia