Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan YTSP Perlis
2 MAC 2026
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa bidang STEM perlu dimanfaatkan oleh golongan pelajar dengan sebaiknya untuk memupuk pemikiran kritis, serta mencetuskan inovasi yang mampu membawa perubahan.
Para pelajar hari ini hidup dalam era teknologi yang berkembang pesat dan sarat dengan cabaran baharu.
Justeru, Baginda menambah bahawa, ‘Ilmu sains, teknologi dan inovasi hendaklah dijadikan wadah untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai isu di sekeliling, kerana penguasaan dalam bidang ini berupaya membentuk dan mencorakkan masa depan dunia’.
Tuanku Raja Muda Perlis turut menegaskan agar para pelajar memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pendidikan sepanjang tempoh persekolahan.
UNTUK MENCAPAI KECEMERLANGAN
Pendidikan bukan sekadar medan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, malah merupakan pelaburan jangka panjang demi membina kehidupan yang berkualiti serta meningkatkan taraf hidup keluarga.
“Tanamkan azam yang teguh, hadir ke sekolah dengan semangat membara dan jiwa yang cintakan ilmu. Dengan pendidikan, terbuka luas ruang untuk mencapai kejayaan, membina masa depan yang gemilang dan bersaing secara sihat dalam arus globalisasi,” titah Baginda lagi.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan Program Titian Kasih Mega anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Fajar, Batu 7, Jalan Airport, Sandakan, Sabah.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengetua SMK Taman Fajar, Latipah Tahir serta Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Sandakan, Jeffry Nicholas.
100 ORANG PELAJAR
Seramai 100 orang pelajar tingkatan lima telah terlibat dalam menjayakan program yang penuh bermakna ini.
Menurut Latipah, pihak sekolah berbesar hati atas keberangkatan Tuanku Raja Muda Perlis.
Program Titian Kasih ini amat signifikan buat warga sekolah, khususnya para pelajar yang berpeluang menimba ilmu dan inspirasi daripada penceramah-penceramah berwibawa.
Program seumpama ini, ujar beliau, amat dinantikan oleh para pelajar dalam usaha berterusan mencapai kecemerlangan.
USAHA DAN INISIATIF
Diharapkan segala usaha dan inisiatif yang dilaksanakan akan membuahkan kejayaan kepada anak-anak didik.
Dalam majlis tersebut, Tuanku Raja Muda Perlis turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) berjumlah RM1,500 kepada pihak sekolah sebagai insentif RM500 kepada pelajar cemerlang bagi tempoh tiga tahun.
Baginda juga berkenan menyempurnakan perasmian Makmal Sains Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail Perlis serta menyaksikan pelbagai sumbangan kepada pihak sekolah.
Antaranya Program Mengimarahkan Surau daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM2,000, pembinaan kemudahan wudhu di surau perempuan berjumah RM8,000 juga dari MAIPs, sumbangan pendingin hawa Panasonic daripada Saudagar WorldBridge Sdn. Bhd., sumbangan kipas penyejuk udara daripada Mutiara Perlis Sdn. Bhd., sumbangan sistem siar raya daripada Yayasan Harmoni dan Malaysia Resources Corporation Berhad (MRCB) serta sumbangan daripada Yayasan RISDA.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan harapan agar para pelajar SMK Taman Fajar tampil sebagai generasi berilmu, berakhlak mulia dan berintegriti tinggi, seterusnya menjadi aset berharga yang menyumbang kepada agama, bangsa dan negara. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia