Disiplin Kunci Kecemerlangan, Titah Raja Muda Perlis di SMSTSP

Disiplin Kunci Kecemerlangan, Titah Raja Muda Perlis di SMSTSP

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan bahawa penghayatan disiplin yang tinggi dan berterusan merupakan kunci utama dalam mencapai kecemerlangan, sekali gus memastikan setiap perancangan serta usaha membuahkan hasil yang terbaik.

Baginda bertitah, melalui pengurusan masa yang bijak, sikap bertanggungjawab serta kawalan diri yang mantap, para pelajar bukan sahaja mampu meningkatkan keupayaan intelektual, malah membina sahsiah dan karakter unggul.

“Ilmu merupakan sinar yang menerangi jalan kehidupan. Justeru, tuntutlah ia dengan penuh kecekalan dan kesungguhan. Manfaatkan sepenuhnya peluang berada dalam persekitaran asrama yang kondusif dengan memperbanyakkan diskusi bersama rakan serta mendapatkan bimbingan daripada para guru,” titah Baginda.

Tuanku Raja Muda turut menzahirkan keyakinan bahawa pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra (SMSTSP) mampu muncul sebagai generasi berilmu, berakhlak dan berintegriti tinggi, seterusnya menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega peringkat sekolah berkenaan di Behor Pulai, di sini, baru-baru ini.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin; Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus; serta Pengetua sekolah, Masodiah Mahfodz @ Mahfod.

Program anjuran YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis itu melibatkan seramai 307 pelajar terdiri daripada 171 pelajar lelaki dan 136 pelajar perempuan dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3.

Menurut pihak sekolah, antara pencapaian membanggakan termasuk kejayaan merangkul johan dalam Malaysia International Young Innovators Olympiad (MIYIO) 2025 serta menjuarai 5th International Creative Creators Playground di peringkat antarabangsa.

Selain itu, pelajar turut aktif menyertai program inovasi seperti Malaysia Grand Invention Expo (MAGIEX) 2024 dengan mengetengahkan projek berkaitan isu anti buli.

Di peringkat kebangsaan, sekolah tersebut mencatat kejayaan dalam sukan kriket dengan meraih naib johan pada tahun 2025, selain turut muncul naib johan dalam National ICT Cybersecurity Challenge 2025.

Kesemua pencapaian ini adalah hasil usaha gigih pelajar, komitmen tinggi guru serta sokongan berterusan ibu bapa, sekali gus menjadi pemangkin kepada kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.

Dalam majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan perasmian Bilik Citra Lestari yang akan berfungsi sebagai ruang pelbagai guna, pusat pameran serta kemudahan persediaan tetamu.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.