KANGAR, 10 April 2026 — Bekas atlet angkat berat negara, Mohd Faiz Musa serta Ketua Jurulatih Persatuan Kecergasan Lompat Tali Negeri Perlis, Abdul Rashid Mahamoud menerima Anugerah Cemerlang Dalam Bidang Sukan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dalam satu majlis yang berlangsung di The Putra Regency Hotel, di sini semalam.
Anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Pengerusi YTSP Perlis.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Mohd Faiz Musa yang kini merupakan Presiden Persatuan Angkat Berat Negeri Perlis terus mencipta impak apabila berjaya memimpin kontinjen angkat berat Perlis muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak.
Kejayaan bersejarah itu diserlahkan melalui kutipan empat pingat emas, dua perak dan dua gangsa, sekali gus meletakkan Perlis sebagai antara kuasa baharu yang sedang meningkat naik dalam arena angkat berat negara.
Beliau turut memainkan peranan penting dalam merangka program latihan berprestasi tinggi, membentuk disiplin atlet serta mencungkil bakat baharu secara konsisten di peringkat akar umbi.
Sementara itu, Abdul Rashid Mahamoud pula menerima pengiktirafan atas sumbangan besar dalam memartabatkan sukan lompat tali dan kecergasan fizikal di negeri ini sehingga ke peringkat antarabangsa.
Beliau merupakan perintis yang memperkenalkan sukan lompat tali di Perlis sejak tahun 1999 menerusi program “Jump For Heart” hasil kerjasama kumpulan dari Yukon, Kanada bersama Institut Jantung Negara (IJN).
Pengiktirafan tersebut bukan sahaja meraikan kejayaan individu, malah mencerminkan kebangkitan sukan negeri Perlis yang dipacu oleh kepimpinan, disiplin serta visi yang jelas.
Kejayaan kedua-dua tokoh ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mencipta kecemerlangan serta mengharumkan nama negeri di peringkat nasional dan antarabangsa.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia