Oleh: Prof Madya Dato’ Dr Junaidi Abu Bakar
Felo Kanan Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia
Muqadimah: “Takhta ini adalah untuk berkhidmat kepada rakyat”
“Sesungguhnya tidak ada keberkatan pada takhta jika ia tidak dirasai oleh rakyat. Saya mahu mendekati rakyat, menyelami keperluan mereka, dan memastikan kebajikan mereka sentiasa dibela. Takhta ini adalah untuk berkhidmat.”— DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis
Dengan penuh kasih dan taat setia, seluruh warga negeri Perlis dan rakyat Malaysia menumpahkan rasa syukur serta menjunjung kasih sempena Hari Keputeraan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Baginda bukan sekadar seorang Raja Muda menurut susur galur, tetapi seorang pemimpin berhati rakyat, yang menjadikan takhta sebagai wadah berbakti, bukan sekadar simbol kedaulatan.
Sejak awal penaungan baginda sebagai Raja Muda, DYTM Tuanku telah meletakkan misi menyantuni rakyat sebagai keutamaan peribadi dan prinsip pemerintahan. Saban minggu, nama Tuanku terpahat dalam jadual turun padang — ke kampung-kampung terpencil, daerah pedalaman, rumah asnaf dan pondok-pondok tua — bukan untuk dirai, tetapi untuk merai dan membela.
Raja Cendekia: Pendidikan Sebagai Warisan Diraja
DYTM Tuanku adalah lambang pemimpin berilmu dan pendokong pendidikan tinggi yang progresif. Sebagai Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Tuanku aktif membimbing hala tuju universiti bukan sahaja dari segi akademik, malah dari aspek pembangunan sahsiah dan kepimpinan pelajar.
Di bawah penaungan Tuanku, UniMAP menjalin kerjasama rapat dengan pelbagai universiti antarabangsa, termasuk Universiti Muhammadiyah Sumatera Utara di Medan, Indonesia yang telah mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Honoris Causa kepada Tuanku sebagai mengiktiraf sumbangan baginda dalam memperkukuhkan jaringan ilmu dan kemanusiaan serantau. Beberapa universiti antarabangsa lain turut menganugerahkan pengiktirafan tertinggi kepada Tuanku atas usaha menjadikan pendidikan sebagai jambatan ke arah kesejahteraan ummah dan diplomasi ilmu.
Penglibatan Tuanku bukan sekadar rasmi, malah substantif — menyampaikan titah pendidikan, merasmikan seminar antarabangsa, memimpin ekspedisi ilmiah dan membentuk ekosistem universiti yang merakyat dan mendepani cabaran abad ke-21.
Mendekati Rakyat: Dari Istana ke Kampung
Sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), DYTM Tuanku menjadikan medan kebajikan dan pengagihan zakat sebagai ruang utama menyampaikan kasih diraja secara langsung. Tuanku menyantuni masyarakat bukan hanya melalui protokol rasmi, malah melangkah sendiri ke rumah-rumah rakyat yang memerlukan, berbual, memahami, dan menyampaikan sumbangan dengan tangan sendiri.
Setiap kampung di Perlis, termasuk kawasan paling terpencil seperti Wang Kelian, Guar Nangka, Kampung Tasoh dan Ujung Bukit, pernah menerima kunjungan peribadi Tuanku. Kehadiran baginda bukan untuk ditatap, tetapi untuk menatap wajah rakyat, dan mendengar sendiri denyut nadi mereka.
Ketika bencana melanda — sama ada banjir besar, kebakaran atau ribut — Tuanku pasti tampil antara yang pertama tiba di lokasi. Menyingsing lengan, menyantuni mangsa, menyerahkan sumbangan dan menyampaikan titah agar seluruh jentera bertindak segera. Ketika rakyat diuji, raja turut merasai peritnya.
Pendukung Dasar Negeri, Pemangkin Sinergi Pentadbiran
Peranan DYTM Tuanku juga sangat terserlah dalam menyokong dasar-dasar kerajaan negeri Perlis serta memperkukuh hubungan antara istana dan pentadbiran awam. Baginda bukan sekadar tokoh simbolik, tetapi pemimpin yang turut serta secara langsung dalam menjayakan pelbagai program pembangunan dan kebajikan rakyat.
DYTM Tuanku menjalin kerjasama erat dengan pejabat-pejabat daerah, jabatan agama, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Zakat, dan pelbagai agensi kerajaan, bagi memastikan segala bantuan dan dasar negeri benar-benar sampai kepada kumpulan sasar. Dalam banyak program bantuan, baik berbentuk perumahan, pendidikan, mahupun ekonomi, keberangkatan Tuanku membawa harapan, mempercepat gerak kerja, dan mengangkat martabat dasar kerajaan sebagai amanah untuk rakyat.
Sinergi ini menjadikan pentadbiran negeri lebih berkesan, berjiwa rakyat dan terpimpin oleh kasih hikmah seorang raja. Rakyat terbela, dasar terlaksana, dan negeri terus melangkah dengan penuh keyakinan.
Kayuhan Amal Diraja: Dakwah dan Derma Satu Roda
Program Kayuhan Amal Raja Muda Perlis adalah antara manifestasi paling unik dalam pendekatan Tuanku mendekati rakyat. Diiringi rombongan kecil, Tuanku menyusuri jalan kampung dan daerah luar bandar — menyampaikan bantuan, merasmikan masjid, menyantuni pesakit, dan memimpin solat bersama rakyat.
Team Kayuhan Tuanku di Kuala Lumpur pula memperluas pendekatan ini ke peringkat nasional, menganjurkan program amal bersama NGO, agensi kerajaan dan sektor korporat. Bantuan disalurkan kepada golongan gelandangan, pelajar miskin, anak yatim dan keluarga susah di kawasan bandar raya.
Lebih mengharukan, Tuanku turut memimpin kayuhan kemanusiaan ke Selatan Thailand, termasuk ke Pattani, Narathiwat dan Satun, menyampaikan sumbangan kepada institusi pondok dan madrasah, mempererat ukhuwwah Melayu Islam serantau.
Brigadier Jeneral Diraja: Panglima Berjiwa Ulul Albab
DYTM Tuanku juga memegang peranan penting dalam pertahanan negara sebagai Brigadier Jeneral dan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah. Penglibatan aktif Tuanku dalam eksesais ketenteraan dan lawatan operasi membuktikan bahawa kasih baginda bukan hanya kepada rakyat biasa, tetapi juga kepada wira-wira negara.
Satu detik penting ialah ketika Tuanku mencemar duli ke kawasan operasi di Semporna, Sabah dalam Eksesais PERBAH. Lawatan ke Pulau Siamil, Pulau Manampalik dan Pulau Omadal memperlihatkan sokongan moral Tuanku kepada anggota ATM dan PDRM di barisan hadapan. Dalam titah baginda, Tuanku mengingatkan bahawa musuh negara hadir dalam pelbagai rupa, dan kerjasama antara ATM, PDRM serta agensi keselamatan lain amatlah penting untuk mengekalkan keamanan nasional.
Penutup: Raja Menjunjung Takhta Ilmu dan Kasih
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah meletakkan asas kepimpinan diraja yang unggul: berteraskan ilmu, bersendikan agama, dan berjiwa rakyat. Baginda bukan sekadar Raja Muda kepada negeri Perlis, tetapi juga cerminan raja masa depan Malaysia — berpandangan jauh, tegas dalam prinsip, dan halus dalam menyantuni insan.
Sempena hari keputeraan baginda, patik dan segenap rakyat menadah tangan memohon ke hadrat Allah SWT agar Tuanku terus dilimpahkan kesihatan, kemuliaan dan keberkatan dalam memayungi negeri Perlis Darul Sunnah dengan adil, kasih dan hikmah.
DAULAT TUANKU